
KUALA LUMPUR – Dalam saat ujian kesihatan datang tanpa diduga, sokongan dan keprihatinan insan sekeliling sering menjadi sinar harapan buat mereka yang sedang bergelut. Begitulah kisah yang menyentuh perasaan ramai apabila komuniti TikTok bersatu hati membantu meringankan beban sebuah keluarga yang memerlukan.
Sikap prihatin dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan beberapa pempengaruh media sosial baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila mereka tampil membantu seorang lelaki dikenali sebagai Uncle Munies dalam usaha mengumpulkan dana sebanyak RM20,000 bagi menampung kos rawatan isterinya.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna TikTok @onefaridzuan, yang mengendalikan sesi siaran langsung bagi tujuan kutipan dana. Menerusi usaha berkenaan, orang ramai dilihat tampil menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing, sekali gus meringankan beban keluarga tersebut.
Dalam kapsyennya, beliau meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diterima.
“Alhamdulillah, terima kasih semua yang support live dan memberi sumbangan baik yang sedikit ataupun yang banyak, kami sangat bersyukur dan terima kasih juga pada team-team jerung @IkhmalNour @harszanlagi.w @MUZZ’JUMAAT @Apis Dauz.”
Netizen Puji Solidariti & Keikhlasan Komuniti TikTok
Tindakan mereka nyata mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang rata-ratanya memuji keikhlasan serta semangat kerjasama ditunjukkan. Ada yang menyifatkan inilah contoh sebenar seorang pempengaruh yang menggunakan pengikut untuk mengajak orang ramai berbuat kebaikan.
Malah, seorang individu turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih atas bantuan yang diterima bagi rawatan ibunya, mengakui mereka sekeluarga berada dalam keadaan serba kekurangan dan usaha tersebut benar-benar memberi harapan baharu.
Dalam masa sama, ramai yang menitipkan doa dan kata-kata semangat, menyifatkan rakyat Malaysia ibarat adik-beradik yang saling membantu ketika susah. Tidak kurang juga yang mengaku mengalirkan air mata ketika menonton siaran langsung berkenaan kerana terlalu tersentuh melihat keprihatinan masyarakat.
Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa pengaruh media sosial bukan sekadar untuk hiburan, malah mampu menjadi platform kebajikan yang menyatukan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.
Semoga usaha baik seperti ini dipermudahkan dan segala urusan keluarga tersebut berjalan lancar. – The Malaysian Update
The post Pempengaruh Berganding Bahu Bantu Uncle Munies, Usaha Kumpul Dana RM20,000 Untuk Rawatan Isteri Sentuh Hati Netizen appeared first on The Malaysian Update.
