
Beijing – Seorang pempengaruh bina badan muda dari China ditemui meninggal dunia secara mengejut ketika tidur, hanya beberapa hari selepas merancang untuk memulakan fasa baharu hidupnya.
Menurut laporan Mirror UK, mangsa dikenali sebagai Bi Jiaqi, 26, seorang figura kecergasan yang mempunyai pengikut ramai di media sosial tempatan.
Lebih menyayat hati, Bi baru sahaja membeli sebuah rumah baharu dan bercadang mengadakan jamuan makan malam bersama rakan-rakan sebaik sahaja berpindah masuk. Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sebelum sempat rumah tersebut diubah suai.
Dikesan Berbual Seperti Biasa Beberapa Jam Sebelum
Rakan-rakan memaklumkan Bi masih aktif berbual dalam talian beberapa jam sebelum kejadian, tanpa menunjukkan sebarang tanda serius.
Bagaimanapun, mereka mula menyedari sesuatu yang ganjil beberapa hari sebelumnya, namun menyangka ia sekadar keletihan akibat latihan intensif.
Semasa meneliti gambar terbaharu, mereka mendapati bibir Bi kelihatan kebiruan, mata cengkung keletihan dan urat di lehernya timbul luar biasa, petanda yang dipercayai berkait dengan kekurangan oksigen serta masalah peredaran darah.
Keadaan itu berpotensi mencetuskan serangan jantung atau kematian mengejut.
Gurauan Terakhir Undang Tanda Tanya
Awal bulan ini, Bi sempat memuat naik swafoto sambil bergurau kepalanya kelihatan ‘bengkak seperti pau kukus’.
Rakan latihannya ketika itu menyangka perubahan fizikal tersebut hanyalah kesan biasa proses ‘cutting’, kehilangan lemak badan ekstrem dan dehidrasi sebelum pertandingan.
Namun, kini gurauan itu dilihat sebagai petunjuk awal sesuatu yang lebih serius.
Risiko Latihan Ekstrem
Difahamkan, ramai atlet bina badan menurunkan peratusan lemak badan ke tahap angka tunggal melalui sekatan air dan garam secara drastik, amalan yang boleh memberi tekanan berat kepada jantung.
Pakar kardiologi dari Hospital Fuwai Shenzhen, Dr Zhang Yu, menjelaskan latihan intensiti tinggi dalam tempoh panjang mampu membebankan sistem kardiovaskular, sekali gus meningkatkan risiko pembekuan darah dan kematian mengejut.
Pengikut Terkejut
Di platform Weibo, peminat meluahkan rasa terkejut kerana Bi dikenali memiliki fizikal mantap dan disifatkan ‘tidak dapat dikalahkan’.
Mayatnya dijadual menjalani bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kisah ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa kesihatan dalaman sama penting dengan penampilan fizikal, terutama bagi mereka yang menjalani latihan ekstrem tanpa pemantauan perubatan. – The Malaysian Update
The post Pempengaruh Bina Badan Maut Mengejut Dalam Tidur, Baru Rancang Pindah Rumah Baharu appeared first on The Malaysian Update.


