SHAH ALAM – Seorang pempengaruh media sosial yang tular selepas memuat naik video memaparkan tatu pada lengan dan tangan menerima pelbagai reaksi serta nasihat daripada netizen.
Perkongsian video di Instagram itu menarik perhatian ramai apabila tatu berkenaan dipercayai melambangkan pergolakan emosi dan tekanan hidup yang sedang dihadapi individu terbabit.
Rata-rata pengguna media sosial tampil memberikan kata-kata semangat, selain menganggap perkongsian itu sebagai isyarat bahawa pempengaruh berkenaan memerlukan sokongan dan bantuan.
Pengguna Instagram, fazhancf menasihatkan pempengaruh itu agar mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
"Sibukkan diri dengan pergi masjid, duit dah mantap, harta pon dah mantap, ringankan diri pergi masjid bergaul dengan orang orang baik.
"Insya-ALLAH hidup akan dipermudahkan, perlahan-lahan berubah untuk ke jalan ALLAH bukan senang," ujarnya.
Seorang lagi pengguna, aaronaeem menyarankan supaya individu itu menjadikan al-Quran sebagai panduan jika terasa tertekan dan tidak tenang.
"Stres, tak tenang? Dalam Quran ALLAH bagitau. Ingatlah, hanya dengan mengingat ALLAH," ujarnya.
Izadiskandar pula berkata, keadaan tatu yang masih kemerahan menunjukkan ia baru dibuat dan mungkin mencerminkan tekanan emosi yang sedang dialami individu terbabit.
Menurutnya, perkongsian itu boleh ditafsir sebagai 'cry for help' dan menggesa orang ramai supaya tidak mengabaikan keadaan tersebut.
“Sebagai penonton, kita jangan hanya 'scroll'. Kita kena bantu, terima dia seadanya dan cuba bantu ringankan beban,” tulisnya.
Sementara itu, sarahmohdshah mendoakan agar individu berkenaan diberikan kekuatan dan perlindungan, selain berharap segala beban yang ditanggung dapat diringankan.
Ucapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri juga dititipkan sebagai tanda sokongan moral.
Dalam pada itu, Jamilshafi95 berpendapat, ALLAH tidak pernah menguji hambanya melebihi kemampuan mereka.
"Kadang-kadang ujian yang ALLAH beri terasa terlalu berat sampai kita rasa tak mampu lagi nak teruskan.
"Mungkin hari ini rasa gelap, penat, putus asa tapi itu bukan tanda ALLAH tinggalkan kita namun sebenarnya sedang dekat dan dengar setiap doa," ujarnya.
Terdahulu dalam video yang tular, pempengaruh terbabit mendakwa dirinya menghadapi masalah emosi.
Dia memilih untuk berkongsi perkara tersebut bagi mengelakkan spekulasi berterusan daripada orang ramai.
"Hidup ni memang penuh dengan kejutan. Semua orang diuji dengan ujian masing-masing.
"Tapi tak semua orang mampu hadap ujian tu dan ujian kita tak sama.Tahniah kalau hidup korang bahagia, but not mine," ujarnya.

