
WASHINGTON - Penembak yang cuba membunuh mantan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah dikenal pasti oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Media AS melaporkan, penembak terbabit dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks, pemuda berusia 20 yang berasal dari Pennsylvania.
Jurucakap FBI berkata, Thomas disahkan sebagai penembak yang cuba menamatkan riwayat Trump dalam serangan itu.
"FBI telah mengenal pasti Thomas Matthew Crooks, 20, dari Bethel Park, Pennsylvania, sebagai subjek yang terlibat dalam cubaan pembunuhan bekas Presiden Donald Trump pada 13 Julai, di Butler, Pennsylvania," katanya.
Bagaimanapun jelas jurucakap tersebut, motif serangan tersebut masih tidak dapat dipastikan.
Ketua Komunikasi FBI, Anthony Guglielmi dipetik sebagai berkata, penyerang telah ‘dineutralkan’ oleh anggota ‘Secret Service’.
Sumber melaporkan, Thomas berada di atas bumbung sebuah kilang pembuatan, sekitar 118 meter dari pentas tempat Trump berucap.
Trump cedera di telinga akibat insiden terlibat..
Berkongsi kisah di platform Truth Social, beliau memberitahu, bahagian atas telinga kanannya ditembusi peluru dalam serangan tersebut.
"Saya segera tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena kerana saya mendengar bunyi berdesing, tembakan, dan serta-merta merasakan peluru itu menembusi kulit. Banyak pendarahan berlaku, jadi saya sedar apa yang berlaku," katanya. - Agensi, 14 Julai 2024
