Pemuda Amanah NS tetap lapor polis terhadap Dd Chronicle

15 Feb 2024 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Hanis (empat dari kanan) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melang, Kuala Pilah pada Khamis.

KUALA PILAH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan tetap membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berhubung video parodinya walaupun dia telah membuat permohonan maaf.

Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata, laporan itu dibuat pada Khamis pada jam 3.16 petang di Balai Polis Melang di sini berkait satu video yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.

Katanya, video berdurasi 3 minit 55 saat itu telah dipadam, namun tindakan meneruskan laporan polis itu bagi memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk mana-mana pempengaruh dalam membuat sebarang kandungan di media sosial.

"Beliau menggunakan contoh kes arak, judi dan liwat telah terbatal dan rakyat Malaysia boleh buat perkara-perkara berikut tanpa mendapat apa-apa hukuman.

"Ini jelas mengelirukan, memesongkan fakta serta berniat untuk mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara," katanya.

Katanya, laporan itu juga bertujuan meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas pempengaruh itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi (kandungan menghina) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).

Media sebelum ini melaporkan video berkenaan telah mendapat perhatian warganet dan mereka meminta pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan terhadap lelaki tersebut kerana sudah melampaui batas.

Susulan itu, Dd Chronicle atau namanya Dediy Sulaeman Ra’e tampil memohon maaf terhadap perbuatannya dan menjelaskan tindakan tersebut tidak mempunyai niat untuk menghasut mana-mana pihak.