Pemuda dipenjara enam tahun, denda RM20,000 sebabkan kematian penunggang motosikal

10 Aug 2026 • 2:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemuda dipenjara enam tahun, denda RM20,000 sebabkan kematian penunggang motosikal

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja pembersihan di Singapura dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Gelang Patah, di sini, minggu lalu.

Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini, selepas tertuduh, T. Yuken, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM20,000, sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan hendaklah menjalani pemenjaraan selama satu tahun.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan lelaki itu untuk membayar pampasan berjumlah RM4,000 kepada isteri mangsa, Noor Adlin Roslan mengikut Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah selain memerintahkan lesen memandu tertuduh diendors mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh yang memandu Perodua Myvi telah memandu dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhamad Isa Damiri yang berusia 41 tahun pada pukul 4.20 pagi di Jalan Leong Bee, Gelang Patah, di sini pada 6 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000, lesen memandu diendors oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tempoh tidak kurang lima tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan setelah dia menyesali perbuatannya yang telah meragut nyawa penunggang motosikal berkenaan.

“Itu saya punya salah, saya mengaku. Saya cuma mahu minta kurangkan hukuman dan denda saya. Saya baharu seminggu mula bekerja di Singapura. Saya jaga keluarga termasuk ibu yang tidak bekerja, ayah tukang kebun dan dua adik masih belajar,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhaizam Rostam Affendi bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal mengambil kira beberapa faktor termasuk keluarga mangsa kehilangan tempat bergantung.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 10 Disember depan untuk memaklumkan status pembayaran pampasan dan jika ia gagal dibayar, mahkamah akan menentukan perintah sewajarnya.-UTUSAN

The post Pemuda dipenjara enam tahun, denda RM20,000 sebabkan kematian penunggang motosikal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved