Pemuda ‘kantoi’ selepas 40 kali hantar dadah, upah RM50 setiap penghantaran

11 Nov 2026 • 2:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemuda ‘kantoi’ selepas 40 kali hantar dadah, upah RM50 setiap penghantaran

KUANTAN – Kegiatan seorang pemuda menghantar bekalan dadah dengan upah RM50 bagi setiap penghantaran berakhir selepas ditahan dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta dan sebuah apartmen di sini, Sabtu lalu.

Suspek yang berusia 23 tahun mengaku memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 selepas melakukan 40 transaksi penghantaran dadah dalam masa seminggu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, dalam serbuan pada pukul 7.50 malam itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat 48,329.85 gram (g) bernilai RM711,452.

Ia merangkumi 6,627.56g serbuk MDMA, 41,650g cecair MDMA, 41.94g ketamin, 8.98g pil ekstasi dan 1.37g pil Erimin 5.

“Siasatan awal mendapati suspek menerima arahan menerusi aplikasi Telegram dan WeChat untuk menghantar bekalan dadah ke lokasi yang ditetapkan.

“Lelaki itu mengaku menerima bayaran RM2,000 atau RM50 bagi setiap penghantaran selepas melakukan 40 transaksi penghantaran dadah dalam tempoh seminggu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Semakan mendapati pemuda tersebut tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas pengambilan bahan terlarang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Permohonan reman kali pertama dibenarkan selama tujuh hari hingga 14 November ini bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut turut dilakukan mengikut Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988 terhadap harta milik suspek membabitkan sebuah kenderaan bernilai RM20,000.

Dadah yang dirampas itu berpotensi merosakkan kira-kira 29,207 individu sekiranya terlepas ke pasaran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Kontinjen Pahang menerusi talian 09-5051999 atau balai polis berdekatan.

The post Pemuda ‘kantoi’ selepas 40 kali hantar dadah, upah RM50 setiap penghantaran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved