Pemuda kemalangan di Johor perlu kos RM5,000 bedah rahang segera

LocalHealth & Fitness
24 Apr 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemuda kemalangan di Johor perlu kos RM5,000 bedah rahang segera
Keluarga menunjukkan gambar Mohamad Amirullah yang kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, Johor.

TUMPAT – Seorang pemuda dari Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini yang parah dalam nahas jalan raya di Johor 10 hari lalu memerlukan pembedahan rahang segera, namun keluarganya berdepan kekangan kewangan untuk menanggung kos pembedahan sebanyak RM5,000.

Mangsa, Mohamad Amirullah Mohd Shaferi, 24, sebelum ini bertarung nyawa selama seminggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, Johor sebelum dipindahkan ke wad biasa hospital itu.

Ibunya, Zabariah Hassan, 51, berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di kepala, patah rahang serta bahu kiri.

Menurutnya, Amirullah baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala selain prosedur menebuk leher bagi membantu pernafasan.

“Doktor beritahu anak perlu bedah untuk betulkan rahang secepat mungkin, tapi kami tak ada RM5,000 kalau nak segera.

“Selagi tak bayar, pembedahan tak dapat dibuat sedangkan pembedahan itu perlu segera,” katanya yang menetap di rumah sewanya di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini.

Zabariah berkata, buat masa ini hanya suaminya, Mohd Shaferi Mohamad, 58, yang berulang-alik dari Kelantan ke Johor bagi menjaga anak mereka di hospital.

Katanya, dia pula terpaksa tinggal di kampung bagi menguruskan empat lagi anak termasuk dua yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masing-masing bisu dan autisme.

Menceritakan kejadian, Zabariah berkata, Amirullah yang bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan menaiki motosikal bersama rakannya.

“Dalam kejadian itu, motosikal dinaiki mereka terbabas menyebabkan rakannya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Amirullah cedera parah,” katanya.

Menurutnya, keluarga kini buntu memikirkan cara mendapatkan wang bagi membiayai kos rawatan berkenaan memandangkan pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung keperluan harian.

“Suami bekerja sebagai tukang sapu di Majlis Daerah Tumpat, manakala saya pula membuat ikan bekok secara kecil-kecilan.

“Pendapatan kami sekadar cukup untuk makan dan bayar sewa rumah RM350 sebulan. Sebelum ini Amirullah banyak membantu keluarga, namun kini kami pula berdepan ujian ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga berkenaan di talian 016-9153805 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank RHB milik Mohamad Amirullah 25105800054035.