Pemuda Libas Remaja Perempuan Kerana Simpan Hati Terhadap Mangsa – Polis

LocalPolitics
21 Oct 2025 • 3:42 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Hanya kerana memendam perasaan terhadap seorang remaja perempuan, seorang pemuda sanggup bertindak luar jangkaan apabila dia bertindak untuk menikam mangsa dari belakang dalam kejadian di Tangga Batu, petang Isnin.

Remaja perempuan mengalami luka tujuh sentimeter

Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun mengaku menyimpan perasaan terhadap mangsa, yang juga seorang operator kilang berusia 19 tahun.

image is not available

Foto: Kosmo!

“Suspek memberitahu dia memang minat dengan mangsa. Namun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan motif sebenar,” katanya.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang ketika mangsa sedang membonceng motosikal bersama kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.

Mangsa tiba-tiba berasa sakit pada bahagian belakang sebelum mendapati pinggangnya berdarah. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, dan kini dirawat di Zon Kuning.

Mangsa mengalami luka sepanjang tujuh sentimiter dan selebar tiga sentimeter di bahagian belakang pinggang.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Suspek, yang tinggal berhampiran lokasi kejadian kini direman tujuh hari bermula hari ini seperti diperintahkan Mahkamah Majistret Melaka Ayer Keroh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)