PASIR GUDANG – Tindakan seorang pemuda membakar mercun secara berbahaya di atas jalan raya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas videonya tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 53 saat itu yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di kawasan Seri Alam di sini pada kira-kira jam 11 malam, 18 Mac lalu.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun pada kira-kira jam 11 malam pada Sabtu di Kampung Pasir Putih di sini.
"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini," katanya dalam kenyataan.
Menurut Victor, kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan teliti dan adil,” katanya.

