Trafik sesak di lebuh raya utama, kemalangan antara punca

22 Mar 2026 • 6:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menyemak keadaan aliran trafik di laman web berkaitan supaya dapat merancang perjalanan yang lebih lancar. - FOTO: Bernama Aliran trafik menuju ke Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan dilaporkan terkawal ketika tinjauan fotoBernama sempena perayaan Aidilfitri di sini, hari ini.Keadaan itu berikutan warga kota mengambil langkah awal memulakan perjalanan pulang ke kampung bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR - Trafik di lebuh raya utama sesak petang ini susulan pertambahan kenderaan dan kemalangan di beberapa lokasi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kesesakan dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara di Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng sehingga Simpang Pulai serta di kedua-dua arah di Ipoh Utara ke Kuala Kangsar dan dari Bertam ke Sungai Petani.

"Beberapa kemalangan yang dilaporkan berlaku turut menyumbang kepada kesesakan seperti di Plaza Tol Hutan Kampung dari arah Jitra dan Tanjung Malim ke Lembah Beringin,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, bagi arah dari Pantai Timur, kesesakan berlaku dari arah Bentong ke Bukit Tinggi dan Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak manakala trafik ke selatan sesak di Bandar Ainsdale ke Senawang serta di Simpang Renggam ke Sedenak.

"Trafik turut sesak di beberapa lokasi menghala ke Lembah Klang seperti di Bukit Gambir ke Tangkak, Ayer Keroh ke Simpang Ampat dan Pedas Linggi ke Port Dickson,” katanya.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan pihak konsesi dan memastikan mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan pemanduan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau paparan kamera litar tertutup trafik di laman sesawang rasmi agensi berkenaan. - Bernama