Pemuda Maut SUV Dipandu Langgar Pokok

20 Jun 2022 • 12:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang pemandu maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar sebatang pokok di depan sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, awal pagi tadi. - Gambar dari Facebook KLCCC DBKL

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu maut apabila keretanya melanggar sebatang pokok, selepas terbabas di hadapan sebuah sekolah di Jalan Syed Putra di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Rozman Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian Mers 999 pada jam 5.15 pagi tadi.

"Sepasukan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

“Sejurus tiba, nahas tersebut didapati melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner,” katanya hari ini.

Katanya, mangsa ialah seorang lelaki berusia 30 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6 pagi tetapi dia disahkan sudah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang turut berada di lokasi.

“Mayat pemuda itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Getaran, 20 Jun 2022