Pemuda Nekad Potong Kaki Sendiri Demi Jadi Doktor, Sanggup ‘Cipta’ Status OKU Untuk Masuk Perubatan

LocalHealth & Fitness
31 Jan 2026 • 8:26 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Kanpur – Hanya kerana terlalu taksub mahu bergelar doktor, seorang pemuda di Uttar Pradesh sanggup melakukan tindakan melangkaui logik akal apabila nekad memotong kakinya sendiri semata-mata mahu merealisasikan impiannya menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Seorang pemuda berusia 20 tahun itu didakwa dengan sengaja mencacatkan dirinya bagi melayakkan diri mendapat kuota khas orang kurang upaya (OKU) untuk memasuki sekolah perubatan selepas gagal melepasi peperiksaan kemasukan sebanyak dua kali.

Memetik laporan OddityCentral, suspek yang dikenali sebagai Suraj Bhaskar pada awalnya mendakwa dia menjadi mangsa serangan penjenayah tidak dikenali di kampung Khalilpur sehingga menyebabkan kakinya putus. Malah, abangnya turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut bagi mendapatkan bantuan.

Siasatan polis dedah cerita rekaan

Bagaimanapun, hasil siasatan pihak berkuasa menemukan pelbagai percanggahan dalam keterangannya. Polis mendapati cerita serangan itu tidak konsisten dan dipercayai direka bagi mengelirukan siasatan.

Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemui picagari yang mengandungi sisa ubat bius, sekali gus menimbulkan syak bahawa kaki mangsa telah dibius terlebih dahulu sebelum dipotong. Laporan perubatan pula mendedahkan potongan tersebut terlalu bersih dan kemas, dipercayai menggunakan mesin, serta mustahil berlaku akibat serangan senjata tajam secara rawak.

Lebih mengejutkan, polis turut menemui sebuah diari milik Suraj yang mencatat azamnya untuk menjadi doktor MBBS menjelang 2026, selain keterangan teman wanitanya yang memaklumkan lelaki itu terlalu obses terhadap kerjaya perubatan. Siasatan juga mendapati dia pernah cuba mendapatkan dokumen berkaitan status OKU beberapa bulan sebelum kejadian, namun permohonannya gagal.

Suraj kini dihantar ke pusat trauma untuk menerima rawatan lanjut, manakala pihak berkuasa masih meneliti tindakan undang-undang yang sesuai memandangkan perbuatannya itu bukan sahaja mengejutkan, malah cuba memperdaya siasatan polis. – The Malaysian Update

The post Pemuda Nekad Potong Kaki Sendiri Demi Jadi Doktor, Sanggup ‘Cipta’ Status OKU Untuk Masuk Perubatan appeared first on The Malaysian Update.