SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Kawasan Bangi meluluskan usul untuk memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketetapan itu diperoleh sebulat suara menerusi mesyuarat agung sayap Pemuda Pas kawasan tersebut baru-baru ini.
Menerusi hantaran ringkas dimuat naik Dewan Pemuda Pas Bangi, pihaknya turut meminta kepimpinan Pas untuk melaksanakan perkara sama.
"Mesyuarat agung Dewan Pemuda Pas Bangi sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan berharap agar Pas Pusat serta Dewan Pemuda Pas Pusat melaksanakan perkara yang sama.
"Pada masa sama, Pemuda Pas Bangi sebulat suara mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pelancaran jentera partinya di Melaka," katanya di Facebook pada Sabtu.
Meskipun Pemuda Pas Bangi tidak memperincikan kenyataan Mohamed Azmin yang dimaksudkan, ia dipercayai merujuk kepada penolakan dakwaan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera akar umbi mencukupi, selain menggesa pengkritik supaya tidak ‘pekak’.
Pada 22 Mei lalu, Abdul Hadi mendakwa Bersatu menuntut banyak kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) sambil menegaskan parti itu tidak mempunyai jentera yang mencukupi di peringkat akar umbi.
Dakwanya lagi, Pas sering kali terpaksa menggerakkan jentera parti sendiri bagi menyokong usaha gabungan dalam siri pilihan raya.
Terdahulu, Abdul Hadi memaklumkan Pas sedang menilai semula hubungannya dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).






