Tiada usul undi tidak percaya - ADUN Beseri

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada usul undi tidak percaya - ADUN Beseri
Haziq Asyraf

KANGAR – Tiada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, keputusan tersebut adalah selari dengan pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan keputusan sedia ada.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Perlis bagaimanapun menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju kepimpinan negeri, khususnya melibatkan enam ADUN Pas akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan lanjut selepas mesyuarat Pas Pusat yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Perkara itu, saya pegang yang Pengerusi Perikatan Nasional Perlis sebab dia AJK Pas Pusat, kalau saya nak banding dengan AJK Pas Pusat, saya Ketua Pemuda Pas (Perlis sahaja), Datuk Seri Shahidan kata apa itu yang kami ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di luar Persidangan DUN Perlis di Kompleks Seri Putra di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Haziq Asyraf turut menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berhubung kepentingan mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran negeri.

Menurutnya, semua ADUN perlu memainkan peranan masing-masing dengan menjadikan persidangan DUN sebagai medan untuk membawa suara rakyat di kawasan masing-masing.

Sebelum ini, media melaporkan PN Perlis menjunjung titah Raja Perlis yang mahukan Menteri Besar dikekalkan sehingga akhir penggal DUN.

Shahidan dilaporkan berkata, PN Perlis tidak akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam sidang kali ini, selain menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti di peringkat pusat untuk menentukan hala tuju politik negeri.