Pemuda PAS Selangor gesa PAS putuskan hubungan dengan Bersatu

LocalPolitics
31 Dec 2025 • 9:56 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pemuda PAS Selangor meminta parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu bagi membolehkan PAS terus bergerak ke hadapan dengan membawa gabungan yang lebih ramai.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, dengan pengkhianatan yang berlaku itu, hubungan berkenaan tidak akan membawa ke mana-mana.

Beliau turut menyarankan satu parti gabungan politik Melayu yang lebih kuat serta stabil perlu ditubuhkan dan bersedia untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama dengan Umno.

Apa yang penting, katanya, ialah memberi perhatian kepada orang Melayu-Islam dan rakyat secara keseluruhannya.

“PAS tidak pernah berubah dasar dan perjuangan. Setiap pakatan politik yang kita bersama senantiasa mengkhianati kita (dan) senantiasa mengambil kesempatan kepada kita, jadi kita perlu bertindak.

“Kita tidak boleh biarkan (pengkhianatan) di depan sana, kemaslahan rakyat menjadi keutamaan.

“Jika kita terus biarkan keadaan ini berlaku saya yakin gerak kerja kita untuk memenangi pilihan raya yang akan datang terbantut,’’ katanya dalam klip video di Facebooknya.

Justeru, Mohamed Sukri berkata, jika Umno bersedia untuk membina semula Muafakat Nasional, Pemuda PAS menyahutnya malah nama kerjasama tersebut boleh ditukar kepada nama lain.

“Pendirian saya adalah gabungan ataupun politik Melayu mesti dilakukan sekarang. Kebetulan kita nak masuk tahun baru, gabungan politik Melayu mesti digabungkan dalam satu gabungan yang lebih kuat dan stabil.

“Oleh itu sama ada Umno ataupun mana-mana pihak, kita mesti bentuk kerjasama bersama untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang,’’ katanya.

Mohamed Sukri turut menasihatkan penyokong PAS supaya terus konsisten menyokong parti berkenaan walau dalam apa juga gabungan.

“Apa yang lebih penting ialah melihat lihat betapa kita konsisten membawa perjuangan rakyat dalam apa jua keadaan,’’ katanya. - 31 Disember, 2025

The post Pemuda PAS Selangor gesa PAS putuskan hubungan dengan Bersatu appeared first on Scoop.