
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jika sudah namanya manusia, ada hari kita diuji dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam menjalani kehidupan seharian.
Kebiasaannya, ujian datang dalam bentuk yang tidak disangka contohnya kemalangan yang tetap berlaku walaupun kenderaan diparkir dalam petak yang betul.
Namun ujian sebeginilah yang mengajar individu bagaimana untuk mengawal emosi dan sabar dalam menghadapi cabaran sebegitu.
Kereta Dilanggar Ketika Parkir Di Pasar, Ada Wang & Nota Lengkap Dengan Nombor Telefon Untuk Dihubungi
Semalam (20 April), tular di media sosial perkongsian seorang lelaki mengenai kereta Perodua Myvi miliknya yang dilanggar ketika dia meletakkan kenderaan tersebut di Pasar Manir, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat (17 April) lalu.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads @mubinnnz, pemuda yang dikenali sebagai Mubin itu mendedahkan hanya menyedari bahagian belakang keretanya dilanggar setelah membaca surat yang diletakkan pada cermin hadapan kenderaannya itu.
Apa yang menjadi perhatian adalah surat tersebut turut disertakan dengan wang tunai berjumlah RM206 sebagai ganti rugi akibat perlanggaran tersebut.
Berdasarkan kandungan surat yang dikongsikan, cucu kepada pemandu wanita yang dikenali sebagai Adira turut memohon maaf dan meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya wang tersebut tidak mencukupi.
Jelas Adira, dia dan neneknya yang terlanggar kereta Myvi milik Mubin tidak dapat menunggu lebih lama memandangkan terdapat hal lain yang perlu dilakukan.

“Bumper clip patah, ada calar sikit. Ada pakcik mari tegur kata ada makcik dengan anak dia langgar naik kereta Perodua Kelisa, dia pesan suruh WhatsApp nombor kat kertas tu.
“Dia tinggal duit RM206, sebab sebut makcik kan jadi saya rasa kesian sebab orang tua, abah saya pun orang tua jadi saya rasa mesti dia tak perasan kan,” tulis Mubin.
Pemuda Terus Hubungi Cucu Pemandu Wanita, Minta Alamat Datang Ke Rumah
Kongsi pemuda itu lagi, dia terus menghubungi Adira dan meminta alamat rumah untuk berjumpa setelah gadis itu menjelaskan dia hanya tinggal bersama neneknya.
Jelas Mubin, nenek gadis berkenaan berumur 70 tahun dan menjaga cucunya itu sejak anak dan menantunya meninggal dunia.
Pulangkan Semula Wang, Siap Bagi Lebih Selepas Tahu Kondisi Keluarga Nenek
Setelah mengetahui situasi sebenar, Mubin memulangkan kembali wang tunai RM206 yang diberikan oleh gadis tersebut sebelum itu.
Malah, dia turut memberi jumlah yang lebih sebagai bantuan buat Adira dan neneknya.
“Duduk pun rumah kampung, ada kereta tu sebiji je jadi saya kesian saya bagi balik sekali bagi duit lebih sikit, sebab yang dia bagi tu, tu je duit yang dia ada.
“Dalam kita rasa diri kita ni susah, ada orang yang jauh lagi susah dari kita. Semoga kita semua murah rezeki, dipanjangkan umur, dijodohkan dengan orang baik, insya-Allah,” jelasnya.
Melalui hantaran itu juga, Mubin turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan cucu wanita berkenaan menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan dan mendoakan kebaikan buat dirinya.
View on Threads
Pengguna Media Sosial Puji Bantuan & Respon Positif Pemuda
Perkongsian yang telah mendapat lebih 131,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, ramai yang memuji respon serta tindakan pemuda yang kekal tenang dan tidak melatah apabila kereta Myvi miliknya dilanggar.
Malah, ada yang mendoakan agar kebaikan yang dibuat oleh Mubin turut dibalas dengan kebaikan.
Ini antara komen menarik pengguna Threads:
“Nenek Bertanggungjawab, Cucu Sopan & Beradab, Abang Kereta Myvi Berhati Baik, Semoga Semuanya Dipermudahkan Segala Urusan & Pahala Berpanjangan”

“Terima Kasih Buat Baik Dengan Nenek & Cucu Tu, Semoga Encik Dapat Rezekei Berganda-Gana Dari RM206 Tu”

“Tahniah Jadi Orang Baik, Tahniah Sebab Jadi Inspirasi Untuk Orang Lain Berbuat Baik”

“Baiknya Nenek & Cucu Ni, Dipertemukan Pula Dengan Orang Baik Macam Encik, Memang Ada Hikmah Semua Ini Terjadi”

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Kebaikan Lelaki, Hanya Minta RM80 Lepas Kereta Bergesel Dengan Kereta Lain [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Kesiannya Pak Cik” – Ramai Simpati Lihat Keadaan Warga Emas Selepas Tak Sengaja Langgar Pemuda Dari Belakang [Video]



