Pemuda Tempuh Perjalanan Lebih Lapan Jam Demi Segulung Ijazah

LocalFamily & Parenting
27 Sep 2025 • 6:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pemuda Tempuh Perjalanan Lebih Lapan Jam Demi Segulung Ijazah

Demi menggapai segulung ijazah, seorang anak muda rela menempuh perjalanan lebih lapan jam dengan hanya menunggang sebuah motosikal kapcai sambil membawa baldi dan beg galas.

Itulah tekad Muhammad Zahirul Hakim Zali, 22, pelajar baharu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sewaktu hari pendaftaran pada Sabtu.

Dari Sepang Ke Perlis

Bagi anak sulung daripada enam beradik itu, ia adalah bukti bahawa tekad, keazaman dan kesungguhannya dalam perjalanan lebih 500 kilometer mengubah masa depannya.

Menerusi perkongsian UniMAP, memaparkan anak muda itu disambut oleh barisan kepimpinan universiti berkenaan.

“Jangan pernah takut untuk mencuba, namun jangan pula terlalu leka ketika selesa,” katanya.

Meskipun terdapat inisiatif lain seperti bas dan ETS, namun kos perjalanan yang tinggi mencecah sehingga RM100 sehala menjadikan Lebuhraya PLUS sudah menjadi ‘rumah kedua’ baginya sejak zaman diploma.

Dengan motosikal kesayangannya, Zahirul bukan sahaja dapat berjimat iaitu sekitar RM30 untuk satu perjalanan, tetapi juga mengenal erti sebenar kesabaran, disiplin, dan keberanian di jalan raya demi segulung ijazah.

image is not available
Gambar: UniMAP

Sebagai seorang anak lelaki, dia tidak mahu menyusahkan ibu dan ayahnya yang perlu menanggung keperluan adik-beradiknya yang lain.

Langkah itu dilihat paling jimat agar pengajiannya dapat diteruskan tanpa menambah beban kewangan keluarga.

Sementara itu, Encik Zali, ayah kepada Zahirul berkata, pada awalnya dia bimbang dengan keputusan yang ingin diambil oleh anaknya itu.

Sudah tentu, sebagai seorang bapa, dia tidak sanggup membiarkan anak kesayangan menunggang berseorangan dengan jarak jauh berjam-jam lamanya.

Pun begitu, Zahirul meyakinkan ayahnya untuk menunggang secara berhemah dan menjaga keselamatan diri termasuk pengguna jalan raya lain.

Kisah penuh inspirasi ini membuktikan tentang pengorbanan, kasih kepada keluarga dan keberanian seorang anak muda dalam mengapai cita-cita.

Selamat datang ke UniMAP dan Selamat Maju Jaya Zahirul!

Sumber: