Demi Segulung Ijazah, Pelajar Tunggang Motosikal 8 Jam Bawa Baldi & Beg Galas Ke UniMAP

27 Sep 2025 • 5:56 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Demi mengejar ilmu dan segulung ijazah, seorang anak muda sanggup menempuh perjalanan lebih lapan jam bermotosikal dari Sepang, Selangor ke Perlis dengan hanya berbekalkan baldi dan beg galas berisi keperluan asas.

image is not available

Tekad pelajar demi segulung ijazah

Menerusi perkongsian Facebook Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Zahirul Hakim Zali yang merupakan pelajar baharu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) dengan tekad yang besar telah mendaftarkan diri ke univerisiti terbabit pada Sabtu tanpa ditemani sesiapa.

“Sejak zaman diploma lagi, lebuh raya sudah menjadi ‘rumah kedua’. Dengan motosikal, kos perjalanan hanya sekitar RM30. Saya dapat jimatkan belanja dan pada masa sama belajar erti sabar, disiplin serta keberanian di jalan raya,” katanya.

image is not available

Demi segulung ijazah dan enggan susahkan ibu bapa

Anak sulung enam beradik itu memilih menunggang motosikal kerana kos perjalanan dengan bas atau ETS boleh mencecah RM100 sehala.

Lebih menyentuh hati, dia enggan menyusahkan ibu bapanya yang turut menanggung perbelanjaan adik-beradiknya.

Walaupun pada awalnya hasrat tersebut diragui bapa, namun keyakinan dan sikap berhati-hati Zahirul akhirnya membuatkan lelaki itu merestui usaha anaknya.

image is not available

Kisah keberanian Zahirul yang dikongsikan menerusi Facebook UniMAP bukan sahaja menyentuh hati ramai, malah membuktikan bahawa jarak ribuan kilometer tidak mampu menghalang cita-cita.

“Jangan pernah takut untuk mencuba, namun jangan pula terlalu leka ketika selesa,” pesannya lagi.

image is not available

Muhammad Zahirul merupakan antara ribuan pelajar baru yang mendaftarkan diri ke institusi pengajian tinggi terbabit pada hari ini memandangkan sesi pembelajaran untuk semester pertama akan bermula tidak lama lagi.