Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara meletak jawatan susulan rasa tidak puas hati terhadap cara keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilaksanakan.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata sayap parti itu menyifatkan pengendalian keputusan bertarikh 18 September 2026 itu sebagai tidak cermat dan berpandangan Peguam Negara perlu bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara memikul tanggungjawab atas ketidakcermatan dan kelalaian dalam pelaksanaan keputusan ini dengan segera berundur secara terhormat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Azleen berkata, beliau melihat kenyataan berasingan yang dikeluarkan Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri pada 7 November bagi menjelaskan perkara itu sebagai petunjuk bahawa keputusan berkenaan tidak diurus dengan cermat.
Beliau turut menjunjung kasih atas kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keputusan Lembaga Pengampunan itu. Menurutnya, kenyataan Istana Negara menunjukkan Seri Paduka Baginda telah melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Noor Azleen turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap Peguam Negara.

“Bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, adalah lebih wajar Peguam Negara berundur daripada jawatannya,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan keluar dari Penjara Kajang pada petang 6 November untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dijangka dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi menjalani tahanan rumah, namun dilaporkan kembali ke Penjara Kajang kira-kira pukul 7.15 malam pada hari yang sama.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada hari yang sama memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan Perintah Pelepasan terhadap baki hukuman Najib dalam kes SRC International.






