
SHAH ALAM: PAS Kawasan dan UMNO Bahagian Shah Alam membuat laporan polis bagi mendesak siasatan terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya berpandangan Peguam Negara tidak mempunyai kuasa di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, kenyataan Istana Negara berhubung perkara itu menimbulkan persoalan terhadap tindakan AGC yang disifatkan sebagai pengingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda.
“Kita hadir hari ini untuk menyatakan bahawa tindakan penangguhan tersebut adalah pengingkaran dan melalui laporan polis ini, kita meminta pihak polis menyiasat sepenuhnya Peguam Negara serta kenyataan media AGC yang menangguhkan titah pengampunan tersebut,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini hari ini.
Kelmarin, AGC mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi meneliti tafsiran undang-undang berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Penangguhan itu dibuat selepas Najib selesai membayar denda RM50 juta yang menjadi antara syarat utama dalam perintah berkenaan menerusi kutipan Tabung Solidariti Najib Razak.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, keputusan AGC itu mengejutkan kerana pelaksanaan perintah tahanan rumah sebelum ini disambut baik pihaknya.
Katanya, penangguhan berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana boleh mewujudkan duluan kes yang membolehkan titah Yang di-Pertuan Agong dicabar atau disemak semula pada masa hadapan.
“Pada asalnya kita gembira, namun kegembiraan itu sekejap sahaja apabila menerima keputusan yang tidak dijangka ini,” katanya. – UTUSAN
The post Penangguhan tahanan rumah Najib: PAS dan UMNO Shah Alam buat laporan polis appeared first on Utusan Malaysia.






