Pemuda UMNO sambut seruan Himpunan Mega Penyatuan Ummah

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 1:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemuda UMNO sambut seruan Himpunan Mega Penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO menyatakan kesediaan menyambut seruan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk menggerakkan Himpunan Mega Penyatuan Ummah di seluruh negara.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha penyatuan itu bagaimanapun tidak boleh terhenti pada himpunan, sorakan dan salam di atas pentas semata-mata.

Sebaliknya beliau berkata, Pemuda UMNO dan Pemuda Pas akan duduk semeja menerusi Siri Rimbun bagi membincangkan masa depan bangsa serta mencari penyelesaian terhadap permasalahan anak muda Melayu.

Katanya, semangat dan penyelesaian yang dirangka kemudiannya akan dibawa ke seluruh negara menerusi Jelajah Penyatuan Ummah.

“Dalam ucapan dasarnya, Saudara Afnan Hamimi telah menyeru agar digerakkan Himpunan Mega Penyatuan Ummah. Hari ini, Pemuda UMNO menjawab, kami bersedia menyambut seruan itu.

“Kita bukan sekadar mahu menghimpunkan orang, kita mahu menghimpunkan kekuatan, menyatukan fikiran dan menggerakkan tindakan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Muhamad Akmal berkata, Himpunan Mega Penyatuan Ummah perlu disertai perbincangan yang menghasilkan penyelesaian terhadap masalah rakyat.

“Himpunan tersebut tidak seharusnya berakhir tanpa arah tuju selepas peserta hadir dan pulang,” katanya.

Muhamad Akmal berkata, kehadiran Afnan pada perhimpunan itu turut mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin Pemuda daripada parti di luar Barisan Nasional (BN) yang pertama hadir sebagai tetamu pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.

Sebelum ini, beliau bersama kira-kira 25 delegasi Pemuda UMNO menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas bagi membuka ruang perbincangan antara kedua-dua pihak.

Katanya, langkah tersebut bukan bertujuan mencari ‘cinta politik’, sebaliknya untuk menemukan titik persamaan demi masa depan bangsa.

“Saya tidak pergi untuk mencari cinta politik. Saya pergi untuk mencari titik temu demi masa depan bangsa.

“Kita tidak perlu memadam sejarah, tetapi jangan pula menjadi tawanan sejarah. UMNO kekal sebagai UMNO dan Pas kekal sebagai Pas.

“Penyatuan yang matang tidak menuntut kita membuang identiti, sebaliknya menuntut kita mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha penyatuan itu bukan muncul selepas kemenangan BN di Johor atau kerjasama UMNO dan Pas di Negeri Sembilan, sebaliknya berasaskan prinsip menyatukan kekuatan Melayu-Islam demi agama, bangsa dan negara.

Katanya, UMNO dan Pas masing-masing mempunyai kekuatan, namun tenaga politik Melayu akan terus terpecah sekiranya kedua-duanya bergerak bersendirian serta saling bertembung.

“Tiga tahun lalu, tugas Pemuda ialah membuka jalan penyatuan. Hari ini, tugas kita jauh lebih berat, iaitu menjaga penyatuannya.

“Pemuda yang memulakan gelombang ini akan berdiri paling hadapan untuk menjaganya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, penyatuan Melayu-Islam bukan ancaman kepada mana-mana pihak atau bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Melayu.

“Membela Melayu bukan bererti memusuhi bukan Melayu. Memartabatkan Islam bukan bererti menafikan hak penganut agama lain.

“Kepimpinan Melayu-Islam yang kuat mestilah mampu berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Pemuda UMNO sambut seruan Himpunan Mega Penyatuan Ummah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved