Pemuda UMNO menyokong langkah kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk mengenakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal melunaskan pinjaman.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, peminjam PTPTN perlu bertanggungjawab terhadap pinjaman mereka, terutama apabila ada dalam kalangan mereka yang mampu bercuti ke luar negara tetapi masih belum melunaskan hutang.
“Kalau mereka boleh melancong ke luar negara, takkan tak boleh bayar hutang? Ini soal prinsip dan tanggungjawab kepada generasi akan datang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud di Dewan Negara semalam, bahawa kerajaan sedang menilai semula kemungkinan untuk mengembalikan sekatan perjalanan terhadap peminjam PTPTN sebagai langkah memperkasakan kutipan bayaran balik.
Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi, dengan sebahagian pihak melihatnya sebagai cara mendisiplinkan peminjam, manakala yang lain berpandangan ia boleh membebankan mereka yang masih berdepan kesukaran kewangan.
The post Pemuda UMNO sokong kerajaan pertimbang sekatan perjalanan peminjam PTPTN appeared first on .

