Pemulihan ekonomi China, sektor teknologi dorong pertumbuhan indeks pembuatan 2024 - Kenanga Research
herman
13/05/2024 - 11:50
KUALA LUMPUR 13 Mei - Kenanga Research mengekalkan ramalan pertumbuhan indeks pembuatan pada kadar 4.6% didorong oleh peningkatan dalam permintaan luaran akibat pemulihan sektor teknologi dan ekonomi China.
Kata firma penyelidikan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan terkini menunjukkan penstabilan pada bulan April (49.0; Mac: 48.4), menghampiri tahap neutral 50.0.
Sementara itu, ujarnya, industri yang berorientasikan domestik pual dijangka kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
"Ini diperkukuh oleh peningkatan kedatangan pelancong dan perbelanjaan domestik, bersama dengan keadaan pasaran buruh yang stabil. Kadar pengangguran purata dijangka menurun kepada 3.2% pada tahun 2024 (2023: 3.4%)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Kenanga Research, pihaknya juga mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 1Q24 pada 3.3% (4Q23: 3.0%).
Katanya, ini sedikit lebih rendah daripada anggaran KDNK yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 3.9%.
"Secara keseluruhan, ramalan pertumbuhan kami kekal pada 4.5% - 5.0% pada tahun 2024 (2023: 3.7%)," jelasnya.
Jelas Kenanga Research, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang lebih perlahan pada Mac 2024 berbanding bulan sebelumnya disebabkan oleh penurunan dalam sektor perlombongan dan elektrik, kata Kenanga Research.
Menurut firma penyelidikan itu, ia bagaimanapun dapat diseimbangkan sebahagiannya dengan peningkatan sederhana dalam indeks pengilangan.
"Secara keseluruhannya, suku pertama 2024 (1Q24 3.3%, 4Q23: 0.8%) menyaksikan pertumbuhan meningkat ke paras tertinggi sejak 4Q22 iaitu lima suku tahun lalu yang disokong terutamanya oleh pemulihan sektor pembuatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.- DagangNews.com


