Pemulihan penghantaran produk pratuang bagi projek HDB Singapura beri impak positif kepada Sunway Construction, kata Phillip Capital

26/09/2025 - 12:07
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Sept - Sunway Construction Group Berhad diyakini mendapat manfaat daripada pemulihan penghantaran produk pratuang bagi projek pangsapuri Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura.
Phillip Capital berkata, pemulihan itu membolehkan kumpulan mendapat pengiktirafan lebih pantas daripada buku pesanan bagi projek pratuangnya bagi tahun 2026 dan 2027.
Katanya, pelancaran unit baharu HDB kepada purata 15,000–16,000 setahun pada 2026-2027, selepas lonjakan kepada 17,000–23,000 unit sepanjang 2021-2025, akan mengurangkan kekangan kapasiti yang dihadapi kontraktor utama.
Keadaan ini dijangka membantu meningkatkan kadar penggunaan kilang produk pratuang Sunway Construction di Singapura antara 60% hingga 70% daripada 30% hingga 40% pada separuh pertama 2025 (1HFY25).
"Kumpulan itu memiliki tiga kilang pratuang, satunya di Singapura dengan kapasiti efektif 48,000m³ setahun dan dua di Johor dengan kapasiti gabungan 126,000m³.
"Keseluruhannya, kapasiti ini mampu memenuhi 12% hingga 14% daripada keperluan bekalan pratuang untuk projek HDB di Singapura," katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun prospek segmen pratuang bertambah baik, sumbangannya dijangka kekal sederhana kira-kira 5% daripada unjuran hasil kumpulan.
Firma penyelidikan itu mengujurkan, kumpulan itu pertumbuhan hasil dan keuntungan bersih masing-masing pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 15% dan 26% dalam tempoh 2025–2027, didorong oleh lima projek pusat data yang sedang berjalan, yang secara kolektif merangkumi 45% daripada buku pesanan bernilai RM6.7 bilion.
Katanya, prospek penambahan buku pesanan baharu kekal sangat bergantung kepada projek pusat data yang mewakili 90% daripada buku tender bernilai RM14.2 bilion, manakala baki terdiri daripada projek pratuang dan gudang.
"Dengan kemenangan kontrak baharu berjumlah RM3.8 bilion setakat tahun ini, kumpulan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran dalaman penambahan buku pesanan antara RM4.5 bilion hingga RM6 bilion pada 2025," katanya.- DagangNews.com
standard

