Projek perumahan Sunway di Chuan Grove Singapura berpotensi jana GDV RM4.3 bilion, kata HLIB

08/09/2025 - 10:34
Gambar: ExpatGo Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Sept - Projek perumahan Chuan Grove yang bakal dilancarkan Sunway Berhad di Singapura berpotensi menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.3 bilion, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan tersebut boleh dilancarkan pada harga S$2,800 sekaki persegi atau lebih tinggi – iaitu kira-kira 10.4% melebihi harga terkini Chuan Park – yang diterjemahkan kepada GDV diunjurkan sebanyak S$1.31 bilion.
“Sambutan terhadap projek itu sangat menggalakkan dengan lebih 5,000 pengunjung hadir ke galeri jualan Chuan Park pada hari pratonton pertama, sekali gus memberi gambaran terdapatnya sambutan yang menggalakkan.
"Prestasi kukuh Chuan Park mengukuhkan keyakinan pasaran dan daya maju pembangunan Chuan Grove yang akan datang," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, Tender jualan tanah kerajaan bagi Chuan Grove telah ditutup pada 4 September lalu. Satu usaha sama antara Sunway dan Sing Holdings muncul sebagai pembida tertinggi daripada empat pihak lain, dengan tawaran sebanyak S$623.9 juta (atau S$1,331 sekaki persegi) – iaitu premium 2.9% berbanding bidaan kedua tertinggi.
Katanya, tapak tersebut dijangka dianugerahkan secara rasmi kepada pemaju yang menang dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Firma penyelidikan itu berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagaimanapun berhak menolak bidaan tertinggi atau mana-mana tawaran.
Selepas penganugerahan tender dan kelulusan URA, kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Singapura, dengan Sing Holdings memiliki 65% pegangan manakala Sunway memegang baki 35%.
Menurut HLIB, projek pertama daripada Chuan Grove dijangka dilancarkan antara separuh kedua 2026 hingga separuh pertama 2027.
Firma penyelidikan itu menambah, margin keuntungan bersih bagi projek kediaman persendirian lazimnya berada dalam lingkungan sederhana.
“Dengan andaian margin bersih 10% dan tempoh pengiktirafan empat tahun, bahagian keuntungan tahunan dianggarkan sekitar RM37.9 juta, yang berkemungkinan diiktiraf sepanjang tahun kewangan 2027 hingga 2030 (FY27-FY30),” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6 sesaham.- DagangNews.com
standard


