Penafian Penglibatan MBI Selangor Dengan Bernam Maritime Industrial Park dan Bernam Shipyard

19 May 2026 • 9:00 AM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Penafian Penglibatan MBI Selangor Dengan Bernam Maritime Industrial Park dan Bernam Shipyard
Imej oleh MBI Selnagor

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor merujuk kepada bahan promosi dan pengumuman awam terkini berkaitan majlis pelancaran yang dikaitkan dengan “Bernam Maritime Industrial Park”, oleh “Bernam Shipyard Holdings Sdn Bhd” (berdasarkan logo yang tertera), serta projek-projek maritim lain yang berkaitan yang kini sedang diedarkan kepada umum.

MBI Selangor ingin menegaskan bahawa projek, entiti dan majlis pelancaran tersebut tidak mempunyai sebarang hubungan, sokongan, kaitan mahupun representasi daripada MBI Selangor dalam apa jua kapasiti.

MBI Selangor memandang serius penggunaan tanpa kebenaran nama, logo dan elemen penjenamaan MBI Selangor dalam bahan promosi dan publisiti yang berkaitan dengan majlis dan projek tersebut. Penggunaan tanpa kebenaran ini berpotensi menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pihak berkepentingan, pelabur, agensi kerajaan, rakan perniagaan serta orang awam.

MBI Selangor ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran, pengurusan, pemilikan, promosi atau operasi projek-projek serta majlis pelancaran berkenaan. MBI Selangor juga tidak pernah memberikan sebarang kelulusan, kebenaran, persetujuan atau izin untuk penggunaan nama, logo, identiti korporat atau bahan penjenamaan MBI Selangor berkaitan aktiviti-aktiviti tersebut.

Sehubungan itu, MBI Selangor telah menjalankan semakan awal dengan pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (“MDSB”) dan berdasarkan maklumat yang tersedia pada masa ini, tiada sebarang pengesahan rasmi yang mengaitkan MBI dan MDSB dengan projek atau majlis pelancaran tersebut.

Oleh yang demikian, sebarang representasi, kenyataan, penerbitan, bahan promosi atau gambaran yang menunjukkan bahawa projek dan/atau majlis pelancaran tersebut mempunyai hubungan, sokongan, pengendorsan atau kaitan dengan MBI Selangor adalah tidak tepat, mengelirukan dan tidak mendapat kebenaran.

MBI Selangor dengan ini menggesa semua pihak yang terlibat supaya menghentikan serta-merta penggunaan nama, logo, penjenamaan dan/atau sebarang bentuk representasi yang mencadangkan hubungan dengan MBI Selangor tanpa kebenaran bertulis yang sewajarnya.

MBI Selangor berhak mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu bagi melindungi identiti korporat, reputasi serta kepentingan perundangannya.

Orang awam, pihak berkepentingan dan pihak-pihak berkaitan dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada pengumuman dan komunikasi rasmi yang dikeluarkan melalui saluran rasmi MBI Selangor.