SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan projek Bernam Maritime Industrial Park, Bernam Shipyard Holdings Sdn Bhd serta projek-projek maritim lain yang kini dipromosikan kepada umum.
Menurut MBI Selangor, pihaknya memandang serius penggunaan tanpa kebenaran nama, logo dan elemen penjenamaan MBI Selangor dalam bahan promosi serta publisiti berkaitan majlis pelancaran dan projek berkenaan.
Katanya, penggunaan tanpa kebenaran tersebut berpotensi menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pihak berkepentingan, pelabur, agensi kerajaan, rakan perniagaan serta orang awam.
"MBI Selangor ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran, pengurusan, pemilikan, promosi atau operasi projek-projek serta majlis pelancaran berkenaan.
"MBI Selangor juga tidak pernah memberikan sebarang kelulusan, kebenaran, persetujuan atau izin untuk penggunaan nama, logo, identiti korporat atau bahan penjenamaan MBI Selangor berkaitan aktiviti-aktiviti tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam kenyataan sama, MBI Selangor turut menjelaskan pihaknya tidak pernah memberikan sebarang kelulusan, kebenaran, persetujuan atau izin bagi penggunaan nama, logo, identiti korporat atau bahan penjenamaan MBI Selangor berkaitan aktiviti tersebut.
Semakan awal turut dijalankan bersama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan berdasarkan maklumat sedia ada ketika ini, tiada sebarang pengesahan rasmi yang mengaitkan MBI Selangor serta MDSB dengan projek atau majlis pelancaran tersebut.
“Oleh yang demikian, sebarang representasi, kenyataan, penerbitan, bahan promosi atau gambaran yang menunjukkan bahawa projek dan/atau majlis pelancaran tersebut mempunyai hubungan, sokongan, pengendorsan atau kaitan dengan MBI Selangor adalah tidak tepat, mengelirukan dan tidak mendapat kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, MBI Selangor menggesa semua pihak yang terlibat supaya menghentikan serta-merta penggunaan nama, logo, penjenamaan dan sebarang bentuk representasi yang mencadangkan hubungan dengan MBI Selangor tanpa kebenaran bertulis yang sewajarnya.
Sehubungan itu, MBI Selangor menggesa semua pihak yang terlibat supaya menghentikan serta-merta penggunaan nama, logo, penjenamaan dan/atau sebarang bentuk representasi yang mencadangkan hubungan dengan MBI Selangor tanpa kebenaran bertulis yang sewajarnya.
"MBI Selangor berhak mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu bagi melindungi identiti korporat, reputasi serta kepentingan perundangannya," katanya.
Orang awam, pihak berkepentingan dan pihak-pihak berkaitan juga dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada pengumuman dan komunikasi rasmi yang dikeluarkan melalui saluran rasmi MBI Selangor.






