Penagih dadah perlu diubati, bukan dijauhi masyarakat

Health & Fitness
16 Aug 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penagih dadah perlu diubati, bukan dijauhi masyarakat

APABILA disebut penagih dadah, perkara pertama yang terlintas di fikiran, iaitu ramai dalam kalangan ahli masyarakat mengaitkan dengan jenayah, kemalasan dan insan berkenaan melalui lorong yang gelap pada masa akan datang.

Inilah yang kita sebut stigma dalam masyarakat antara halangan besar bagi usaha memerangi dadah di negara kita.

Pengamal perubatan lulusan Universiti Cairo, Mesir, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, masyarakat Islam di negara ini sewajarnya melihat isu ini berasaskan al-Quran iaitu bagaimana mengatasi pengaruh berkenaan yang semakin menghantui dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, setiap umat Islam perlu sedar, kehidupan manusia sentiasa diuji dengan dugaan sehingga menyebabkan seseorang mungkin terjebak dengan hawa nafsu dan tersalah memilih jalan hidup.

DATUK DR. AHMAD SHUKRI ISMAIL
Asal: Jerantut, Pahang
Kelulusan akademik:
 Ijazah Perubatan dan Pembedahan al-Azhar, University Cairo, Mesir.
 Diploma Perubatan Reproduktif (DRM), College of GP/LPPKN.
 Fellowship Perubatan Ketagihan (UMCAS)
 University Malaya Centre of Addiction Sciences
Kerjaya profesional: Doktor perubatan

Katanya, ia bertepatan firman Allah SWT menerusi surah Yusuf, ayat 53) bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh-Nya”.

Katanya, ajaran Islam diturunkan untuk menyelamatkan dan membina umat manusia. Setiap penyakit sudah tentu ada ubatnya serta cara penyembuhannya menerusi kepandaian mereka yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran perubatan dan sebagainya.

“Begitu juga, sekiranya mereka yang mengalami tekanan psikologi dan masalah tertentu dalam kehidupan tentunya boleh disembuhkan dengan menerusi panduan al-Quran dan sebagainya,” katanya.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud: “Berubatlah kamu, kerana Allah tidak menjadikan satu penyakit melainkan Dia telah menjadikan untuknya penawar.”

Dr. Ahmad Shukri berkata, penagihan dadah merupakan penyakit yang merosakkan jasad, akal dan maruah. Maka wajib untuk berubat supaya tidak merebak secara langsung menjejaskan kehidupan serta pada masa yang sama tabiat itu berjangkit kepada orang lain khususnya anak muda.

Katanya, seseorang penagih sama ada menjalani rawatan di pusat rawatan dan pemulihan atau kembali insaf semata-mata untuk menjaga amanah badan yang Allah pinjamkan seperti beriktikad bahawa Allah yang menyembuhkan adalah benar.

Selanjutnya, beliau berkata, tanda iktikad yang benar berasaskan kefahaman, iaitu umat Islam pastinya berusaha untuk berubat dan merawat seperti yang dijelaskan dalam surah As-Syu’ara, ayat 80 bermaksud: Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.

Katanya, apa yang paling menyakitkan penagih bukanlah dadah itu sendiri. Tetapi masyarakat secara terang-terangan melabel ‘sudah jadi penagih tegar, tentu tidak akan berubah’

Beliau berkata, bagi penagih yang terjebak dengan kancah tersebut sewajarnya tidak mengendahkan tuduhan atau skeptikal segelintir ahli masyarakat dan jangan putus asa untuk mengubatinya.

Katanya, Islam tidak pernah menutup pintu taubat. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu ada peluang untuk penagih sedar dan bangkit. Proses pemulihan, program komuniti serta dan kaunseling anjuran agensi di bawah kerajaan merupakan sebahagian daripada proses taubat nasuha.

Dr. Ahmad Shukri berpandangan pendekatan untuk memulihkan penagih memerlukan rawatan secara holistik berasaskan ‘Model 4F Islam’ bagi memastikan seseorang penagih itu kekal pulih.

Fardhu: Isi jiwa dengan Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran.

Fizikal: Rawatan badan. Jaga makan, bersenam. Badan sihat, iman kuat.

Fikrah: Pulihkan minda dengan menitip kemahiran, pendidikan dan matlamat hidup baharu.
Friend 7 Family: Hal ini sangat penting. Masyarakat wajar mendekati golongan penagih dengan nilai prihatin, adab, kebersamaan, kasih sayang serta ingin membantu berasaskan kekeluargaan.-UTUSAN

 

The post Penagih dadah perlu diubati, bukan dijauhi masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved