
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 47 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan kerana berulang kali mengambil syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Eddy James selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Eddy.
Eddy didapati bersalah mengambil dadah pada jam 12.20 tengah hari, 28 Disember 2023 selepas ujian air kencingnya di balai polis di sini didapati positif.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Dia mempunyai dua rekod sabitan lampau atas kesalahan mengambil dadah.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) ADB itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Eddy menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh penjara.
Pihak pendakwaan memanggil lima saksi manakala pihak pembelaan hanya mempunyai seorang saksi sepanjang perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shafeerah Mad Iskim melakukan pendakwaan manakala Eddy diwakili peguam Michelle Usman.
Sementara itu, tiga pendatang asing tanpa izin dipenjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini secara haram.
Suhardi Tahang, Khalid Mastoki dan Hud Yatin masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain atas pertuduhan dihadapi mereka.
Mereka ditangkap di Tambunan pada 15 Mei selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada pihak imigresen yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
Selepas menjalani hukuman penjara, ketiga-tiga pendatang asing itu diperintah dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran.
Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Chin Tze Mee mengendalikan pendakwaan.


