Penahanan Exco berkaitan GLC Terengganu: Pas beri kerjasama penuh kepada SPRM

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 9:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penahanan Exco berkaitan GLC Terengganu: Pas beri kerjasama penuh kepada SPRM image is not available liza23/02/2026 - 09:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Feb – PAS menegaskan parti itu sentiasa memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan melibatkan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu yang ditahan semalam.

 

SPRM Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

 

Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman, dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

 

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim @ Mohamad berkata, PAS sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.

 

“Dalam soal ini, SPRM perlu melaksanakan peranannya dengan sewajarnya serta dilihat adil dan saksama.

 

“Berbanding pelbagai isu integriti melibatkan ratusan juta dan berbillion ringgit yang begitu lama dipersoalkan oleh rakyat serta menjejaskan negara, PAS masih kekal sebagai parti yang bersih,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, tindakan memperbesarkan kes Exco Terengganu berkenaan yang menurutnya telah lama disiasat sejak 2018, dilihat seolah-olah bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai isu lebih besar dan serius.

 

Antara isu yang dibangkitkan beliau termasuk dakwaan kecurangan rundingan Perjanjian Timbal Balas Tarif dengan Amerika Syarikat yang didakwa merugikan Malaysia, penyelesaian sempadan dengan Indonesia yang melibatkan lebih 5,000 ekar tanah, serta dakwaan skandal rasuah melibatkan bekas Menteri Ekonomi.

 

 

 

 

 

Beliau turut merujuk laporan Bloomberg yang mendakwa SPRM diperalatkan oleh pihak berkepentingan korporat, dan menegaskan isu-isu tersebut sewajarnya diberi perhatian serta disiasat secara menyeluruh.

 

“Namun nampaknya ada pihak yang terdesak mencari berita untuk memburukkan PAS," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article