Penamatan operasi XPeng tidak jejas Bermaz, sebaliknya hapus segmen berprestasi lemah - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penamatan operasi XPeng tidak jejas Bermaz, sebaliknya hapus segmen berprestasi lemah - Penganalisis Image from: Penamatan operasi XPeng tidak jejas Bermaz, sebaliknya hapus segmen berprestasi lemah - Penganalisis hamden17/11/2026 - 09:57 Bilik pameran XPeng di Kuala Lumpur - Gambar/ Instagram Xpeng Malaysia Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Keputusan Bermaz Auto Bhd (BAuto) menamatkan operasi pengedaran kenderaan elektrik (EV) XPeng berkuat kuasa serta-merta dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan dan operasi kumpulan bagi tahun kewangan 2027 (FY27).

 

BIMB Securities berkata sebaliknya, langkah itu dilihat mampu melindungi margin keuntungan kumpulan susulan prestasi keuntungan XPeng yang semakin merosot akibat aktiviti promosi dan persaingan harga kenderaan elektrik (EV) yang semakin sengit.

 

"Penamatan operasi XPeng lebih awal daripada tarikh tamat perjanjian pengedaran pada Mac 2027 itu membolehkan BAuto mengurangkan pendedahan kepada segmen yang berdepan tekanan keuntungan.

 

"Malah, margin EBITDA kumpulan diunjurkan kekal sekitar 10%, manakala perniagaan Mazda yang menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil kumpulan dijangka terus menyokong prestasi operasi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), hasil BAuto meningkat 12.6% tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh prestasi perniagaan Mazda.

 

Pelancaran model CX-5 2.5G dan CX-80 3.3G hibrid ringan dalam masa terdekat turut dijangka menjadi antara perkembangan penting bagi segmen berkenaan.

 

BIMB Securities menaikkan taraf saranan terhadap saham BAuto kepada BELI daripada PEGANG, dengan harga sasaran dikekalkan pada RM0.96.

 

Tekanan kepada keuntungan

Sementara itu MBSB Research berkata, penamatan operasi itu dijangka memberi tekanan kepada keuntungan kumpulan memandangkan XPeng menyumbang 27% kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan pada FY26.

 

Bagaimanapun, proses peralihan dijangka berlangsung secara teratur, dengan baki inventori kenderaan dipindahkan kepada prinsipal pada kos, manakala cawangan sedia ada akan digunakan semula bagi menyokong operasi Mazda.

 

"Susulan semakan unjuran keuntungan dan perubahan tahun asas penilaian kepada FY28F, kami menurunkan harga sasaran BAuto kepada RM0.87 daripada RM0.99 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) lapan kali yang dikekalkan, iaitu satu sisihan piawai (SD) di bawah purata lima tahun.

 

"Kami mengekalkan saranan BELI, terutamanya disokong oleh anggaran hasil dividen saham yang menarik melebihi 9.2%," katanya.

 

Sementara itu RHB Research berpandangan negatif terhadap keputusan BAuto menamatkan pengedaran kenderaan XPeng di Malaysia kerana langkah itu menyebabkan kumpulan bergantung sepenuhnya kepada rangkaian pengedaran Mazda.

 

Bagaimanapun, kesan tersebut berpotensi diimbangi oleh rangkaian model baharu Mazda yang menarik.

 

"Pada pandangan kami jumlah jualan XPeng menunjukkan pertumbuhan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meningkat daripada 327 unit pada suku keempat 2025 (4Q25) kepada 409 unit pada 1QFY27, dengan model G6 menyumbang sebahagian besar jumlah jualan," katanya.

 

RHB Research mengekalkan saranan BELI, harga sasaran baharu RM1.00 daripada RM1.15, potensi kenaikan 21% dan anggaran hasil dividen FY27 (April) sekitar 10%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved