Penamatan subsidi telur jejaskan prestasi suku kedua Teo Seng, untung jatuh 82.5% kepada RM7.4 juta

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 6:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penamatan subsidi telur jejaskan prestasi suku kedua Teo Seng, untung jatuh 82.5% kepada RM7.4 juta Image from: Penamatan subsidi telur jejaskan prestasi suku kedua Teo Seng, untung jatuh 82.5% kepada RM7.4 juta liza18/08/2026 - 18:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Teo Seng Capital Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM7.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26) merosot 82.5% berbanding RM42.1 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan sebanyak RM34.8 juta itu berlaku walaupun hasil kumpulan kekal hampir tidak berubah pada RM171.4 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu. Hasil hanya meningkat 0.02%.

 

Menurut Teo Seng, prestasi hasil yang mendatar itu disebabkan jumlah jualan telur yang lebih rendah, manakala harga jualan purata kekal stabil.

 

“Kejatuhan ketara keuntungan bersih perlu dilihat dalam konteks asas perbandingan yang tinggi pada tahun lalu apabila subsidi telur daripada kerajaan diiktiraf dalam tempoh berkenaan, sekali gus meningkatkan keuntungan 2QFY25.

 

“Bagi segmen penternakan ayam, hasil meningkat sedikit kepada RM142 juta berbanding RM141.4 juta dalam suku sama tahun sebelumnya. Namun, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu merosot 89.4% kepada RM4 juta daripada RM38.1 juta, terutamanya akibat manfaat subsidi telur yang direkodkan pada tahun lalu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Prestasi Segmen Dan Perbandingan Suku

Sementara itu, segmen perdagangan produk berkaitan kesihatan haiwan terus menunjukkan prestasi yang agak stabil dengan hasil sebanyak RM29.5 juta, susut 1.6% daripada RM29.9 juta pada 2QFY25.

 

Keuntungan sebelum cukai segmen berkenaan turut turun sedikit kepada RM7 juta berbanding RM7.2 juta sebelumnya atau merosot 2.7%. Segmen itu terus melengkapi perniagaan penternakan ayam kumpulan.

 

Jika dibandingkan dengan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), prestasi Teo Seng turut mengalami penyusutan apabila hasil turun 7.1% kepada RM171.4 juta daripada RM184.6 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai pula merosot 43.9% kepada RM10.6 juta daripada RM18.9 juta pada suku sebelumnya. Kumpulan menjelaskan penurunan itu berpunca daripada harga jualan purata telur yang lebih rendah walaupun jumlah jualan meningkat dalam suku dikaji.

 

Dalam perkembangan sama, lembaga pengarah Teo Seng mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak satu sen sesaham berjumlah RM5.66 juta, susulan kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM22.2 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026.

 

Strategi Pertumbuhan Dan Cabaran Kos

Teo Seng berkata, kekuatan utama kumpulan kekal dalam bidang penternakan ayam penelur yang dilengkapi dengan perniagaan perdagangan produk berkaitan kesihatan haiwan.

 

Kumpulan melihat peluang pertumbuhan berikutan telur terus menjadi antara sumber protein utama, selain penggunaan telur yang semakin meningkat. Sehubungan itu, Teo Seng akan meneruskan pengembangan portfolio telur berjenama bagi meningkatkan bahagian pasaran dan mengukuhkan keupayaan mengekalkan margin keuntungan.

 

Pada masa sama, kumpulan melihat produk pemprosesan hiliran sebagai satu lagi peluang untuk mengembangkan perniagaan ke dalam segmen makanan sedia dimakan (Ready-To-Eat atau RTE).

 

Bagaimanapun, Teo Seng kekal berhati-hati terhadap persekitaran luaran yang mencabar, khususnya ketidakstabilan geopolitik yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta kos input.

 

Kumpulan berkata tekanan daripada keadaan ekonomi dan geopolitik itu dijangka terus memberi kesan kepada margin operasi dalam tempoh terdekat.

 

Namun, Teo Seng akan menangani cabaran berkenaan menerusi kawalan kos yang berhemah, pengoptimuman operasi dan kepelbagaian perniagaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved