Penambahan kerusi parlimen Sabah, Sarawak perlu disegerakan

LocalPolitics
13 Sep 2026 • 12:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penambahan kerusi parlimen Sabah, Sarawak perlu disegerakan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran segera melaksanakan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak bagi memastikan perwakilan kedua-dua negeri itu lebih adil dan selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.

Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Beluran, Felix Joseph Saang berkata, keputusan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu disusuli tindakan segera dan tidak terus ditangguhkan.

Katanya, UPKO mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen kedua-dua negeri itu ditambah.

“Bagaimanapun, kerajaan wajar menunjukkan komitmen jelas dengan melaksanakan perkara itu segera tanpa terus bertangguh,” katanya.

Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 kerusi.

Menurut Felix, UPKO mencadangkan Sabah diberikan sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen tambahan bagi memperkukuh suara rakyat negeri itu di peringkat Persekutuan.

Katanya, perkara lebih penting bukan sekadar jumlah kerusi tambahan, sebaliknya memastikan jumlah perwakilan Sabah dan Sarawak dipertingkatkan berbanding kedudukan semasa.

“Penambahan itu penting untuk mengembalikan keseimbangan representasi selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kedudukan Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia,” katanya.

Felix berkata, penambahan kerusi berkenaan akan membolehkan suara rakyat Sabah dan Sarawak diwakili secara lebih adil dengan mengambil kira keluasan geografi, pertambahan penduduk dan keperluan pembangunan.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab menjalankan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya mengikut prinsip yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Belas.

“Tiada alasan untuk melambatkan proses penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

“SPR perlu memulakan langkah diperlukan dengan segera supaya rakyat dapat melihat kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam merealisasikan perkara itu,” katanya.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan penting dalam pembentukan Malaysia dan perlu diberikan perwakilan politik yang lebih seimbang di peringkat Persekutuan. – UTUSAN

The post Penambahan kerusi parlimen Sabah, Sarawak perlu disegerakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved