
KOTA KINABALU: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak bagi mencerminkan semangat pembentukan Malaysia, mendapat sambutan baik daripada gabungan pemerintah negeri dan pembangkang.
Mereka berharap jaminan itu diterjemahkan kepada tindakan tanpa berlengah bagi menyelesaikan antara tuntutan utama negeri-negeri Borneo sejak Singapura keluar daripada Persekutuan pada 1965.
Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah memulihkan keseimbangan perwakilan seperti yang dibayangkan ketika Malaysia dibentuk.
Ketua Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut berkata keputusan itu merupakan perkembangan positif yang telah lama dinanti-nantikan susulan tuntutan berterusan yang dikemukakan sejak bertahun-tahun.
“Pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bukan sekadar mengenai penambahan jumlah wakil, tetapi berkaitan keseimbangan perwakilan serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai anggota pengasas Persekutuan pada 1963.
“Ini merupakan langkah penting bagi memastikan suara Sabah dan Sarawak diberikan perwakilan sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Christoper berkata usaha membawa isu itu kepada perhatian Kerajaan Persekutuan bukan perkara baharu dan mereka yang konsisten memperjuangkannya wajar diberikan pengiktirafan.
Beliau turut menyatakan usaha bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Christoper berkata langkah terbaharu itu perlu disusuli perincian mengenai jumlah dan pembahagian kerusi tambahan bagi Sabah dan Sarawak.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata penambahan tersebut harus disegerakan bagi memperkukuh suara serta perwakilan kedua-dua negeri itu di Dewan Rakyat.
Bekas Ketua Menteri itu berkata perkara tersebut penting bagi merealisasikan prinsip perwakilan satu pertiga seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.
Sabah ketika ini mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31, berbanding lebih 160 kerusi di Semenanjung.
Justeru, jumlah keseluruhan 56 kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak ketika ini masih jauh lebih kecil berbanding lebih 160 kerusi yang diperuntukkan kepada Semenanjung.
Shafie berkata perwakilan satu pertiga itu perlu mencerminkan susunan yang seimbang membabitkan Sabah dan Sarawak, bukan sekadar mengambil kira jumlah kerusi kedua-dua negeri berkenaan secara keseluruhan.
“Jika terdapat lebih 160 Ahli Parlimen dari Semenanjung daripada 222 kerusi, maka satu pertiga hendaklah dari Sabah dan satu pertiga lagi dari Sarawak.
Menurut Shafie, penambahan kerusi Parlimen perlu dilaksanakan secara adil dengan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai dua entiti berasingan.
“Perkara ini perlu disegerakan dan jumlahnya mesti memberikan keseimbangan, selaras dengan apa yang dinyatakan Perdana Menteri berhubung perwakilan satu pertiga,” katanya.
Beliau berkata langkah itu juga dapat membantu meningkatkan keyakinan generasi muda Sabah yang semakin berpendidikan serta mempunyai akses lebih luas kepada maklumat dan perkembangan semasa.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan menyambut baik pengumuman penambahan perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak, namun menegaskan langkah itu perlu mengembalikan nisbah kira-kira 35 peratus yang wujud ketika Malaysia dibentuk.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan sama ada penambahan berkenaan akan memulihkan keseimbangan asal perwakilan, iaitu kira-kira 65 peratus untuk Malaya dan 35 peratus bagi Sabah dan Sarawak.
“Ini bukan sekadar permintaan untuk kerusi tambahan tetapi bagi mengekalkan keseimbangan perlembagaan dan perlindungan yang diwujudkan ketika Malaysia dibentuk,” katanya.
Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Malaya mempunyai 104 daripada 159 kerusi, manakala Singapura, Sarawak dan Sabah secara kolektif mempunyai 55 kerusi, masing-masing mewakili kira-kira 65.4 peratus dan 34.6 peratus.
Selepas Singapura keluar daripada Persekutuan, Sabah dan Sarawak kini secara kolektif mempunyai 56 daripada 222 kerusi Parlimen, atau kira-kira 25.2 peratus.
Jeffrey berkata sekurang-kurangnya 34 kerusi tambahan diperlukan bagi Sabah dan Sarawak mencapai kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat, berdasarkan komposisi semasa dan dengan andaian tiada kerusi tambahan diwujudkan di tempat lain.
Beliau berkata cadangan mengembalikan perwakilan 35 peratus melalui penambahan 34 kerusi itu sebelum ini dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 pada September 2022 ketika pentadbiran Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jeffrey berkata Kerajaan Madani perlu meneruskan cadangan berkenaan dan meminda Perlembagaan bagi menetapkan Sabah dan Sarawak secara kolektif berhak mendapat kira-kira 35 peratus kerusi Dewan Rakyat.
Katanya, pengagihan kawasan pilihan raya tambahan dan sempadannya boleh dilaksanakan kemudian menerusi proses kajian semula dan persempadanan pilihan raya mengikut Perlembagaan.
Beliau berkata pindaan berkenaan perlu diberi keutamaan dan diselesaikan menjelang akhir tahun ini bagi mengelakkan kedudukan Sabah dan Sarawak terus terhakis serta rasa tidak puas hati antara negeri-negeri Borneo dan Kerajaan Persekutuan semakin mendalam.
Sementara itu, Ketua Bahagian Upko Beluran Felix Joseph Saang berkata kerajaan perlu menunjukkan komitmen jelas dengan melaksanakan penambahan kerusi dengan segera, termasuk memberikan sekurang-kurangnya 14 kerusi tambahan kepada Sabah.
Katanya, isu itu bukan sekadar jumlah kerusi, tetapi memastikan nisbah perwakilan yang lebih adil bagi Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kedudukan kedua-dua negeri sebagai rakan pengasas Malaysia.
“Penambahan itu akan membolehkan perwakilan yang lebih adil, berkesan dan seimbang, khususnya mengambil kira keluasan geografi Sabah, pertumbuhan penduduk serta keperluan pembangunannya,” katanya.
Felix berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tanggungjawab di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan kajian semula sempadan pilihan raya berdasarkan prinsip dalam Jadual Ketiga Belas.
“Oleh itu, tiada alasan untuk terus melengahkan proses ini.
“Sudah tiba masanya hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak diterjemahkan melalui perwakilan Parlimen yang lebih adil.”Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Api-Api Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui pula menggesa Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat Sabah tidak sekali lagi kecewa berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah dan penambahan kerusi Parlimen.
“Rakyat Sabah telah mendengar banyak janji dan menunggu bertahun-tahun. Kali ini, rakyat mengharapkan lebih daripada pengumuman, mereka mahu melihat kemajuan sebenar ke arah pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata Sabah, Sarawak dan Singapura pernah mempunyai kira-kira satu pertiga kerusi Parlimen ketika pembentukan Malaysia, namun perkadaran itu merosot apabila jumlah kerusi di Semenanjung Malaysia meningkat.
Katanya, penambahan kerusi perlu mengembalikan perkadaran tersebut, bukan sekadar menambah beberapa kerusi.
“Apabila kita bercakap mengenai perwakilan satu pertiga, kita bukan meminta keistimewaan. Kita meminta Malaysia mempertimbangkan semula keseimbangan politik yang wujud ketika negara kita dibentuk.”Sim turut menggesa sempadan kawasan pilihan raya dikaji berdasarkan faktor geografi selain jumlah penduduk, mengambil kira perbezaan antara kawasan luar bandar yang luas di Malaysia Timur dengan kawasan bandar yang padat.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bahawa butiran berhubung pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah akan diumumkan pada Hari Malaysia, 16 September ini, dan semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober.





