
GEORGE TOWN - Pengurus Besar Penang FC, Jeffery Chew Gim Eam berazam untuk memikat bintang bola sepak kelahiran negeri itu, Faisal Halim agar menyertai pasukan berkenaan.
Kerjaya bola sepak Faisal, yang kini bermain di kedudukan sayap untuk Selangor FC terjejas oleh serangan asid Ahad lepas. Beliau ialah pemain yang sedang meningkat naik sejak dipanggil menyertai skuad negara tahun lalu.
Menurut Jeffery, Faisal yang dilahir dan dibesarkan di Permatang Pauh adalah pemain yang sedang diintai Penang FC.
“Faisal seorang yang merendah diri. Beliau ialah bakat dalam program pelapis kami sebelum berhijrah ke Selangor,” katanya.
Jeffery berharap minat kelab itu ke atas Faisal mampu menjadi inspirasi untuk pemain berkenaan segera pulih daripada kecederaan dialami dan kembali fokus terhadap karier.
“Kami ada perancangan untuk membawa pulang pemain kelahiran Pulau Pinang,” katanya.
Jeffery berkata, Faisal boleh membantu mengubah masa depan Penang FC pada Liga Super untuk musim akan datang.
Faisal dilaporkan berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Pergerakan dan pertuturannya dilaporkan terjejas akibat melecur tahap empat yang dialami.
Beliau juga perlu menjalani beberapa siri pembedahan.
Sejurus serangan, Faisal yang masih dalam keadaan sedar dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta untuk rawatan.
Beliau mengalami kesan melecur di muka, leher, bahu, tangan dan dada.
Keadaannya turut menerima perhatian komuniti antarabangsa, termasuk barisan bintang Manchester United yang mendoakan agar beliau segera sembuh.
Serangan ke atas Faisal adalah yang ketika dilaporkan ke atas pemain bola sepak Malaysia bulan ini.
Minggu lalu, seorang lagi pemain skuad negara, Akhyar Rashid, 25 diserang oleh perompak bersenjata sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke kondominiumnya selepas latihan.
Beliau mengalami luka sepanjang empat sentimeter di dahi akibat serangan itu.
Seorang lagi pemain negara, Safiq Rahim pula mendapati kereta miliknya menjadi mangsa vandalisme di kawasan latihan JDT. - The Vibes, 12 Mei 2024



