
Malaysia Autoshow bakal meluaskan jangkauannya pada tahun 2026 melalui penganjuran Penang Autoshow 2026 dan Johor Autoshow 2026, sekali gus memastikan akses terhadap teknologi automotif terkini dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia di utara dan selatan tanah air.
Penang Autoshow akan berlangsung pada Mei 2026, manakala Johor Autoshow menyusul pada Ogos 2026. Kedua-dua edisi negeri ini menjadi platform penting untuk menghimpunkan pengeluar kenderaan, penyedia teknologi mobiliti dan syarikat inovasi bagi memberi pengalaman langsung kepada komuniti tempatan termasuk teknologi automotif terkini, kenderaan elektrik serta penyelesaian mobiliti lestari.
Pemilihan Pulau Pinang dan Johor dibuat berdasarkan kepentingan strategik kedua-dua negeri dalam industri automotif negara. Pulau Pinang kekal sebagai pusat teknologi dan pembuatan berteknologi tinggi, manakala Johor berperanan sebagai hab industri, logistik dan pintu masuk ke pasaran ASEAN, menjadikannya lokasi ideal untuk kolaborasi automotif masa depan.
“Pada tahun 2026, Malaysia Autoshow akan memberi laluan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) apabila mereka menganjurkan Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2026). Namun begitu, misi kami tetap tidak berubah. Kami mahu memastikan inovasi automotif kekal dekat dengan rakyat Malaysia di seluruh negara,” kata En. Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii.
Beliau turut menambah bahawa Penang Autoshow dan Johor Autoshow 2026 adalah kesinambungan misi untuk memperkukuh ekosistem kenderaan generasi baharu, mobiliti elektrik dan inovasi lestari secara lebih inklusif, selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020.
Pengumuman rasmi ini dibuat pada Majlis Pelancaran (Soft Launch) Penang Autoshow & Johor Autoshow di Global Automotive & Technology Expo (GATE) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Penang Autoshow 2026 bakal diadakan di Penang Waterfront Convention Center (PWCC) pada 1 hingga 3 Mei 2026 manakala Johor Autoshow 2026 akan diadakan di Angsana Mall, Johor Bahru bermula pada 21 hingga 23 Ogos 2026. Edisi negeri ini bakal menampilkan pelbagai jenama automotif terkemuka mempamerkan model dan teknologi terkini, termasuk inovasi mobiliti elektrik, sistem keselamatan pintar serta rekabentuk moden yang mencerminkan selera pengguna masa kini.

Antara aktiviti yang dijangka mencuri perhatian termasuk laluan pandu uji khas, perhimpunan kelab kereta, pertunjukan fesyen automotif, selain pelbagai pameran interaktif yang akan diumumkan dari semasa ke semasa menjelang tarikh acara.
Malaysia Autoshow 2025 sebelum ini mencatat rekod baharu sebagai edisi terbesar dalam sejarah ASEAN, dengan hampir 300,000 pengunjung dan potensi jualan mencecah RM1.72 bilion, melibatkan lebih 200 pempamer serta 500 model kenderaan, termasuk barisan kukuh EV dan hibrid.
The post Penang & Johor Autoshow 2026 Sedia Perluas Capaian Teknologi Automotif Kepada Rakyat Malaysia appeared first on TW Media.




