
BANGKOK – Penantian akhirnya berakhir. Selepas 10 tahun menunggu, beregu wanita negara Pearly Tan–M. Thinaah menghadiahkan pingat emas pertama buat kem badminton Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025.
Kejayaan itu bukan sekadar emas buat negara, malah emas sulung peribadi buat Pearly dan Thinaah dalam temasya dwitahunan tersebut, menamatkan kemarau panjang beregu wanita sejak edisi 2015.
Pasangan negara membuka perlawanan dengan penuh yakin apabila menundukkan wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari, 21-16 pada set pertama hasil permainan kemas dan kawalan rali yang konsisten.
Namun, set kedua berubah rentaknya. Pearly–Thinaah mendahului 7-1, sebelum Indonesia bangkit mengejar sehingga kedudukan 13-13, seterusnya mencuri kemenangan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Mental Juara Jadi Pemisah
Set penentuan menyaksikan kedua-dua pasangan beraksi dalam keadaan keletihan. Pearly kerap diasak, namun ketenangan dan keserasian gandingan negara menjadi senjata utama.
Pukulan penamat Pearly akhirnya mengesahkan kemenangan 21-17, sekali gus menyaksikan Malaysia kembali berdiri di puncak beregu wanita buat pertama kali selepas sedekad.
Sebagai rekod, kali terakhir emas beregu wanita negara dimenangi adalah pada Sukan SEA 2015 di Singapura, menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly–Soong Fie Cho. – The Malaysian Update
The post Penantian 10 Tahun Berakhir, Pearly–Thinaah Hadiahkan Emas Pertama Buat Malaysia appeared first on The Malaysian Update.
