
Kota Kinabalu: Hajiji menegaskan pencapaian GRS dalam tempoh empat tahun lepas adalah luar biasa dan tidak pernah dicapai oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Kalau kita cakap tentang pencapaian kita dalam Petronas, buktinya jelas. Pencapaian kita melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dalam bidang perindustrian, pertanian dan pelancongan juga terbukti,” katanya.
Tiga sektor ini melonjakkan ekonomi Sabah ke tahap yang agak baik kerana “kita mempunyai halatuju yang sangat lengkap.
“Di bawahnya, kita ada pembangunan modal insan, Pendidikan. Tahun lepas sahaja kita beri RM480 juta untuk pendidikan, sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Dalam kerajaan GRS ini kita beri segalanya. Anak-anak kita di tingkatan lima, tingkatan enam, sebelum peperiksaan kita beri RM200.
“Saya ingin jelaskan banyak lagi pemberian yang kita salurkan di seluruh negeri Sabah termasuk Syukur sebanyak RM300 yang baru dimulakan, di mana golongan miskin dan memerlukan menerima jumlah itu setiap bulan selama setahun. Sebelum ini tidak pernah ada pemberian seperti ini,” katanya.
Bagi Ranau, Hajiji berkata, satu lagi peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan GRS ialah Loji Air di Ranau dengan peruntukan sebanyak RM62 juta yang dijangka siap pada Ogos.
Pada majlis itu, beliau meluluskan peruntukan untuk membina Dewan Kundasang yang menelan kos RM6 juta, pembesaran Pentas dan Dewan Terbuka Pekan Kundasang sebanyak RM1 juta dan pembinaan semula jambatan gantung Lungkidau dengan kos RM350,000.




