Pencarian pemain mula awal tahun depan – Safa

22 Dec 2022 • 1:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pencarian pemain Piala Presiden dan Piala Belia bagi mewakili Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) pada musim 2023 dijangka bermula awal tahun depan.

Setiausaha Agung Safa, Dato Jelani Hamdan yang membuat pengumuman itu pada Selasa lalu berkata keputusan itu dicapai susulan perbincangan dengan Presiden Safa, Datuk Seri Bung Moktar Radin awal bulan ini.

“Percubaan pemilihan yang dibuka kepada pemain bawah 18 dan 20 tahun dijangka diadakan pada Januari tahun depan membabitkan lapan zon di seluruh negeri.

“Pihak pengurusan akan mengumumkan tarikh dan tempat sebenar tidak lama lagi dan sasaran kami adalah untuk mencari pemain berkaliber untuk membentuk pasukan yang kuat bagi mewakili Safa dalam kedua-dua kejohanan,” katanya.

Tambahnya, Pengarah Teknikal Safa, Omar Maya Amat akan mengetuai panel pemilihan yang menampilkan bekas jurulatih pasukan senior Jelius Ating, Burhan Ajui dan jurulatih penjaga gol semasa Irwan Jamil dengan barisan penyelaras dilantik dengan kerjasama persatuan daerah.

Sementara itu, musim baharu akan menyaksikan dua pasukan berasingan dari Sabah bersaing dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia.

Sabah FC merupakan wakil tunggal negeri itu dalam dua musim lalu sejak ia ditubuhkan pada 2021.

Skuad Piala Presiden mereka menduduki tempat kedua dalam peringkat kumpulan pada musim yang baru berakhir tetapi gagal mara ke separuh akhir selepas tewas 1-4 secara agregat kepada Selangor dalam dua perlawanan di pusingan lapan terakhir, manakala pasukan Belia hanya berjaya menduduki tempat ketiga dalam kumpulan mereka di pusingan awal.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.