Pencawang baharu beri penduduk Kampung Takis bekalan elektrik lebih stabil - Armizan

7 Mar 2026 • 10:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan. Foto fail Bernama

PAPAR - Pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sini yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal April ini bakal memberikan penduduk kemudahan bekalan elektrik yang lebih stabil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek berkenaan yang siap pembinaannya pada 26 Feb lepas, kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, pembinaan kemudahan tersebut adalah susulan aduan penduduk berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V di kawasan sekitar sejak sekian lama.

"Keadaan tersebut memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian malah menyebabkan kerosakan peralatan selain risiko berlakunya litar pintas, sekali gus mengganggu urusan harian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas meninjau projek itu sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Armizan berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) telah mengambil langkah proaktif menyiapkan empat projek pencawang elektrik baharu di kawasan Parlimen berkenaan pada tahun lepas.

Beliau berkata, projek itu membabitkan pencawang di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan yang ketara.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta penduduk menyalurkan aduan rasmi kepada pihak SE mahupun Pejabat Parlimen Papar sekiranya kawasan mereka berdepan isu sama bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved