Pencawang Masuk Utama baharu bantu stabilkan bekalan elektrik di Pantai Timur

LocalBusiness & Finance
30 Mar 2025 • 12:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Azmie Lim

LAHAD DATU: Pengguna di Pantai Timur Sabah akan menikmati bekalan elektrik lebih stabil, sebaik projek naik taraf sistem penghantaran 275kV di Pencawang Masuk Utama (PMU) Dam Road siap sepenuhnya pada pertengahan bulan hadapan.

PMU ini merupakan PMU ke-5 dalam sistem grid penghantaran Sabah dengan tahap voltan 275kV dan kapasiti sehingga 400MW.

Dengan penyiapan PMU Dam Road 275kV ini, Sabah Electricity (SE) dapat memastikan satu lagi projek kritikal untuk bekalan tenaga di Sabah iaitu Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), yang akan menggunakan PMU Dam Road sebagai “injection point” ke grid penghantaran.

Menurut Ketua Pegawai Penghantaran Sabah Electricity, Ir Ts Racheal Lim, fasa pertama kerja-kerja ini melibatkan naik taraf talian 132kV ke 275kV sejauh 116 kilometer.

Sebaik dinaiktaraf, talian ini akan berupaya menyalurkan tenaga elektrik sehingga 400MW pada satu–satu masa.

Kekurangan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Pantai Timur Sabah juga akan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Dengan penyiapan projek ini juga, kebolehharapan sistem grid penghantaran akan menjadi lebih kukuh dan dapat mengekalkan prestasi sistem pada tahap yang baik.

Pada masa ini, prestasi minit sistem grid penghantaran adalah kurang daripada satu minit, sama seperti prestasi di Semenanjung Malaysia.

Projek ini dijalankan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), dengan jumlah perbelanjaan RM132 juta setakat ini.