Pencemaran bau Sungai Semenyih terkawal, bekalan air pulih

LocalEnvironment
5 May 2026 • 12:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 5 MEI: Insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih berjaya dikawal sepenuhnya dengan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kembali pulih.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan setakat jam 8 malam tadi, keadaan Sungai Semenyih dan Sungai Kabul telah kembali normal, manakala LRA Sungai Semenyih kini beroperasi seperti biasa.

Menurut LUAS, operasi Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang diaktifkan sebagai langkah mitigasi turut ditamatkan selepas keadaan terkawal, dengan bekalan air mentah kini disalurkan semula dari Sungai Semenyih.

“Hasil siasatan bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenal pasti sebuah premis di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang yang disyaki menjadi punca pencemaran, dipercayai melibatkan aktiviti kitar semula.

“Pemeriksaan mendapati terdapat pelepasan berwarna yang disyaki disalurkan terus ke sistem perparitan sebelum memasuki Sungai Kabul,” katanya dalam kenyataan.

image is not available
Pensampelan turut dijalankan di lokasi terlibat. Foto Facebook LUAS

LUAS berkata tindakan segera dilaksanakan sejurus insiden dikesan, termasuk kerja pemulihan awal menggunakan kira-kira 100 kilogram karbon teraktif bagi tujuan nyahbau serta pemantauan intensif di kawasan terjejas.

Susulan itu, arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan kepada premis terlibat untuk menghentikan pelepasan selain melaksanakan kerja pembersihan dan kawalan dengan segera.

Pensampelan turut dijalankan di lokasi terlibat sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut, selain pembukaan kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4), Enakmen LUAS 1999.

LUAS turut merakamkan penghargaan kepada Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atas kerjasama dalam memastikan insiden berjaya dikawal dengan segera.

Dalam kejadian itu, pencemaran bau abnormal sehingga dua ton dikesan di Sungai Semenyih kira-kira jam 10.30 malam pada 3 Mei lalu, sekali gus mengaktifkan Kod Kuning berikutan risiko terhadap operasi LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi di hilir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved