Tak perlu ternak babi di Selangor, noktah!

LocalPolitics
4 May 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tak perlu ternak babi di Selangor, noktah!
Penternakan babi, walau secanggih mana pun sistemnya tetap membawa risiko pencemaran air, pelepasan bau serta ancaman kesihatan awam jika berlaku kegagalan pengurusan.

ISU penternakan babi di Selangor kembali mencetuskan perdebatan panas. Bukan sekadar soal ekonomi atau teknologi penternakan moden, tetapi soal sensitiviti, kepercayaan awam dan penghormatan terhadap institusi negeri.

Kenyataan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang mencadangkan penerokaan sistem penternakan babi moden dan tertutup ketika membahaskan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat melangkaui garis halus antara hujah dasar dan sentimen rakyat.

Cadangan penternakan moden berkonsepkan sistem tertutup sering dipromosikan sebagai lebih bersih, terkawal dan mesra alam. Namun realitinya, tidak semudah naratif teknikal tersebut.

Penternakan babi, walau secanggih mana pun sistemnya tetap membawa risiko pencemaran air, pelepasan bau serta ancaman kesihatan awam jika berlaku kegagalan pengurusan.

Pengalaman di beberapa lokasi sebelum ini sudah cukup menjadi pengajaran bahawa sistem moden tidak imun daripada kelemahan manusia dan penguatkuasaan.

Lebih penting, isu ini bukan sekadar teknikal, ia adalah isu sosial dan budaya. Selangor merupakan negeri dengan komposisi masyarakat majmuk, tetapi majoriti penduduknya beragama Islam yang mempunyai sensitiviti tinggi terhadap penternakan babi.

Justeru, apabila cadangan ini dibangkitkan, ia mudah ditafsir sebagai mengabaikan realiti sosiobudaya setempat. Prinsip kesamarataan yang dirujuk di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara sempit hingga mengetepikan konteks masyarakat dan keharmonian antara kaum.

Penolakan rakyat juga bukan main-main. Penduduk di kawasan seperti Bukit Tagar misalnya, secara terbuka menyatakan bantahan apabila kawasan itu mahu dijadikan sebagai ladang ternakan babi. Persoalan ketika itu, kenapa di Bukit Tagar yang majoriti penduduk Melayu?

Agak pelik apabila wakil rakyat mendakwa membawa suara rakyat, suara rakyat mana yang kamu bawa? Lebih menjengkelkan, cadangan tersebut sangat bercanggah dengan pendirian yang telah dizahirkan oleh Sultan Selangor.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, titah baginda bukan sekadar simbolik, tetapi membawa nilai panduan dan kebijaksanaan dalam menjaga kestabilan negeri. Apabila seorang ADUN seolah-olah mempertikaikan atau mencabar titah tersebut, ia membuka ruang kepada persepsi bahawa institusi diraja tidak dihormati.

Ia sangat yang sensitif dan berisiko menghakis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan politik. Rentetan itu ada sengaja melakukan provokasi dengan menyiarkan suntingan gambar yang menghina Sultan Selangor, yang dikaitkan dengan isu penternakan babi di negeri itu.

Penolakan ini bukan didorong oleh emosi semata-mata, tetapi gabungan faktor kesihatan awam, alam sekitar, sensitiviti agama dan kepercayaan terhadap institusi.

Jika penternakan babi benar-benar diperlukan dalam rantaian bekalan makanan negara, maka pendekatan lebih bijaksana ialah menempatkannya di kawasan yang sesuai, dengan penerimaan komuniti setempat yang jelas.

Alternatif lain seperti import juga wajar dipertimbangkan tanpa membebankan negeri yang sudah sedia kompleks dari segi demografi dan pembangunan.

Justeru, titah Sultan Selangor berhubung larangan penternakan babi di negeri itu adalah jelas, muktamad dan wajib dipatuhi semua pihak tanpa sebarang kompromi. Noktah.

Titah telah dizahirkan, keputusan telah dimuktamadkan dan tiada ruang untuk ingkar atau berdalih. Daulat Tuanku!

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan