SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menaruh keyakinan pendaki Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir kilat dan limpahan lumpur di Nepal berada di kawasan penginapan sepanjang Langtang Valley, yang terletak lebih tinggi dan bukannya di bandar yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Beliau yang merupakan Ketua Pasukan Pensolo Langtang Valley Trail 2024 menyatakan bahawa berdasarkan pengalamannya mendaki kawasan berkenaan, kebanyakan lokasi sepanjang laluan Langtang Valley merupakan tempat rehat dan persinggahan untuk pendaki bermalam.
"Saya dan pasukan pendaki seramai 12 orang dari Malaysia berada di Lantang Valley pada bulan September 2024. Kami memulakan pendakian daripada pekan Syabrubesi, pintu masuk ke Lantang Valley.
**media[3633086]**
"Daripada pekan itu kami memulakan pendakian ke Langtang Village pada ketinggian 3,430 meter dari paras laut. Perjalanan kami dari Syabrubesi melalui Sherpagaon, Rimche, Lama, Riverside, Chhunnama, Ghodatabela dan Thyangsyap menyusuri Langtang Khola atau Sungai Lantang,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, perjalanan itu menyusuri beberapa lokasi persinggahan sebelum menuju ke destinasi utama di kawasan Langtang Valley dan berakhir di Kyajin Gompa di kaki Gunung Kyajin Ri pada ketingginan 4,400 meter.
"Ada satu laluan lain dari Syabrubesi melalui Domen dan Bamboo dan bertemu di Rimche untuk ke Langtang Village," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kejadian runtuhan permukaan berais yang menyebabkan banjir kilat dan limpahan air serta lumpur berlaku di kawasan Lantang Lirung, gunung setinggi 7,227 meter yang merupakan sebahagian daripada banjaran Langtang Himal.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang diterimanya, air daripada pencairan glasier berkenaan tidak mengalir ke Langtang Khola, sebaliknya melalui beberapa sungai lain termasuk Trisuli Khola, Bhotekoshi Khola dan Lhende Khola.
Kongsi beliau, air yang turun bersama lumpur memusnahkan pekan Timure, Syabrubesi dan Trisuli terletak kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian runtuhan, serta banyak prasarana dan rumah kediaman sepanjang jalan.
Justeru, beliau percaya pendaki Malaysia yang dikatakan tidak dapat dihubungi setakat ini tidak berada di mana-mana bandar di atas, sebaliknya di tempat penginapan sepanjang Langtang Valley yang lebih tinggi dari Syabrubesi.
"Kebanyakan tempat berhenti dan penginapan ini mempunyai masalah wifi jadi komunikasinya amat terbatas. Dalam keadaan biasapun sukar untuk berkomunikasi, apatah lagi dalam situasi bencana seperti sekarang," ujarnya lagi.
Beliau turut mengajak semua pihak mendoakan keselamatan rakyat Malaysia dan individu lain yang berada di sekitar Langtang Valley, Helambu, Gosainkunda dan Tamang Heritage Trail.


