
Nasib tiga rakyat Malaysia yang sedang melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal, masih belum diketahui selepas mereka gagal dihubungi sejak Rabu.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, emyliatahar, yang memaklumkan tiga rakannya dikenali sebagai Zaki, Adib dan Muhaimin masih belum dapat dihubungi.
Menurut hantaran berkenaan, ketiga-tiga mereka sepatutnya melakukan pendakian di kawasan Langtang Valley bermula 26 Ogos lalu.
“Mesej terakhir pada 10.42 pagi (waktu Malaysia), dan lokasi terakhir yang dikesan adalah berdekatan Bhote Koshi,” katanya.
Difahamkan, wanita berkenaan sudah membuat laporan berhubung kehilangan itu kepada Kedutaan Malaysia serta Wisma Putra, namun katanya, masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai keadaan mereka.
“Please pray for their safety,” katanya sambil berkongsi gambar ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Baca juga:
MCA Perak mohon maaf isu Jalur Gemilang dan bendera negeri dipasang terbalik
‘Mont Kiara milik Malaysia bukan warga Korea’- Syerleena
Kes Nur Qaira Alisha: Guru berkenaan ditukar sementara tunggu siasatan
Perkembangan itu berlaku ketika Nepal sedang berdepan bencana banjir kilat besar di kawasan utara negara itu, khususnya sekitar daerah Rasuwa dan lembangan Sungai Bhote Koshi.
Banjir berkenaan berlaku pada 26 Ogos selepas keruntuhan glasier di kawasan pergunungan Langtang mencetuskan aliran deras ais, batu, lumpur dan air yang bergerak ke kawasan hiliran.
Kesan bencana amat besar apabila kediaman, jalan raya, jambatan, kemudahan hidroelektrik dan infrastruktur penting rosak atau musnah. Operasi mencari dan menyelamat turut berdepan kesukaran akibat kerosakan akses jalan serta gangguan komunikasi di kawasan terjejas.
Setakat kemas kini Kementerian Luar Nepal pada 27 Ogos, sebanyak 359 mayat telah ditemukan, manakala 596 individu dari 33 negara masih dilaporkan hilang. Pihak berkuasa Nepal menggerakkan pasukan keselamatan, agensi pengurusan bencana dan perkhidmatan kesihatan bagi operasi mencari, menyelamat, pemindahan serta bantuan kecemasan.
Dalam perkembangan berkaitan rakyat Malaysia, Wisma Putra sebelum ini mengesahkan 55 rakyat Malaysia yang berada di daerah Rasuwa masih gagal dihubungi susulan bencana itu. Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Kementerian Luar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat serta pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keselamatan mereka.
The post Tiga sahabat gagal dihubungi, lokasi terakhir dikesan berhampiran Bhote Koshi appeared first on The Reporter.






