Pendakwaan, inkues demi keadilan Zara Qairina

LocalOpinion
19 Aug 2025 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kes Zara Qairina menjadi peringatan bahawa keadilan bukan hanya soal menghukum pelaku tetapi juga membina masyarakat dan sistem pendidikan yang lebih selamat.

KES buli yang meragut nyawa Zara Qairina Mahathir kini memasuki fasa penting apabila lima individu yang didakwa terbabit akan dituduh di mahkamah manakala prosiding inkues tetap diteruskan seperti dijadualkan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan pertuduhan terhadap remaja berusia bawah 18 tahun itu akan dilakukan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu berhubung kesalahan berkaitan kes buli Allahyarhamah Zara Qairina.

Langkah tersebut mencerminkan komitmen pihak berkuasa memastikan keadilan dicapai melalui dua saluran berbeza tetapi saling melengkapi.

Pendakwaan memberi tumpuan kepada kesalahan individu manakala inkues menilai punca kematian serta faktor persekitaran yang berkaitan.

Kedua-dua proses tersebut menggambarkan pendekatan menyeluruh terhadap kes yang mendapat perhatian meluas masyarakat.

Dari sudut sosial, ia menunjukkan sistem keadilan bergerak tanpa menangguhkan sebarang proses dan tindakan pantas itu juga membina keyakinan bahawa isu serius seperti buli pelajar diambil dengan penuh tanggungjawab.

Dari segi persepsi awam pula pendakwaan berkenaan menjawab kebimbangan masyarakat dan tekanan media sosial yang mendesak tindakan segera namun asas sebenar tetap berpaksikan bukti serta prosedur undang-undang.

Situasi tersebut mengingatkan kita bahawa keadilan tidak boleh dicapai semata-mata kerana desakan sebaliknya menuntut ketelitian, kesabaran dan peluang adil kepada semua pihak.

Dalam masa sama, tragedi berkenaan perlu dilihat sebagai titik tolak kepada pembaharuan dasar pendidikan khususnya dalam pencegahan buli yang mesti berjalan seiring dengan tindakan perundangan.

Guru, ibu bapa dan pihak sekolah berperanan besar mengesan tanda awal serta memperkenalkan modul kesedaran yang praktikal agar pelajar lebih peka terhadap bahaya buli.

Perlindungan terhadap saksi terutama pelajar juga penting kerana mereka memerlukan sokongan psikologi dan bimbingan supaya mampu tampil memberi keterangan tanpa rasa tertekan.

Kejayaan prosiding berkenaan tidak hanya diukur melalui hukuman tetapi juga pada tahap keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan keberkesanan sistem keadilan negara.

Lebih jauh ia melambangkan kesediaan negara belajar daripada tragedi memperbaiki kelemahan serta memastikan kejadian serupa tidak berulang.

Akhirnya, kes Zara Qairina menjadi peringatan bahawa keadilan bukan hanya soal menghukum pelaku tetapi juga membina masyarakat dan sistem pendidikan yang lebih selamat serta berperikemanusiaan.

 

Lagi artikel berkaitan: