
ALOR SETAR – Tindakan berani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah terus membongkar penyelewengan dana apabila seorang pendakwah bebas direman buat kali kedua, bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pendidikan serta dakwah, dipercayai terbabit dalam salah guna dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Jumaat, selepas permohonan dibuat pihak SPRM.
Menurut sumber, kedua-dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an, ditahan semula kira-kira jam 6 petang Khamis di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berasingan yang turut berkait dengan institusi sama.
Wang Masuk Akaun Peribadi, Rumah RM500,000 Turut Diluluskan
Siasatan awal mendapati pendakwah bebas berkenaan yang juga memegang jawatan Pengarah Urusan institusi terbabit, dipercayai bersubahat menyeleweng dana apabila wang institusi berjumlah RM1.3 juta dimasukkan ke akaun persendirian miliknya.
Lebih mengejutkan, kedua-dua suspek turut disyaki meluluskan pembayaran pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000, dipercayai menggunakan dana berkaitan.
Sebelum ini, mereka pernah direman sehari di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibebaskan pada hari sama sekitar jam 5 petang.
Menurut laporan Sinar Harian, kedua-dua suspek juga dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai kos mengumpul dana institusi tanpa mendapat kelulusan rakan kongsi lain, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tatakelola kewangan organisasi tersebut.
Siasatan Sejak Tahun Lalu
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Menurut beliau, siasatan dijalankan bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu bagi meneliti aliran kewangan dan transaksi mencurigakan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan. – The Malaysian Update
The post Pendakwah Bebas & Ketua Kewangan Direman Lagi, SPRM Siasat Penyelewengan Dana RM1.3 Juta appeared first on The Malaysian Update.
