
Baru-baru ni, heboh sekejap bila ada YB kita bawa cadangan nak tukar nama bunga Rafflesia Arnoldii. Kononnya bunga paling rare dan paling femes di dunia ni perlu rebranding dengan kadar segera, kepada nama yang lebih lokal dan bawa semangat patriotik.
Alasannya? Sebab nama asalnya datang daripada Sir Stamford Raffles, tokoh kolonial Inggeris. Katanya tak sesuai kita terus agungkan peninggalan penjajah. Kononnya, nama barat tu tak mencerminkan identiti kita.
Sebenarnya nama Melayu memang dah ada. Pakma. Dah lama digunakan terutamanya oleh orang kampung. Bukan semalam baru discover. Bukannya macam bangun pagi terus bunga ni announce, “Ok geng, mulai saat ni, korang panggil aku dengan nama glamer Rafflesia.” Tak.
Jadi kenapa pulak ada nama Rafflesia Arnoldii? Itu nama saintifik sebenarnya. Nama Latin, nama rasmi, nama yang dikenali di peringkat antarabangsa, supaya seluruh dunia tahu kita tengah cakap pasal spesis yang sama. Bukannya satu projek kolonial nak padam budaya kita. Itu memang cara taxonomy: spesis memang dinamakan mengikut nama individu yang pertama kali mendokumentasikannya. Dalam kes ni, Dr. Joseph Arnold yang berbuat demikian, tapi sebab Stamford Raffles mengetuai ekspedisi tu, nama dia pun kena selit sekali - menjadikannya Rafflesia Arnoldii. Tu je.
Memang lah dah ada orang asli dan orang tempatan dah nampak bunga ni lama sebelum si Arnold dan si Raffles – tapi malangnya mereka tak tulis dokumen saintifik mengenai bunga ni. Macam tu lah sejarah dan sains berfungsi. Adil ke tak, itu lain cerita. Tapi boleh ke identiti negara di-upgrade hanya dengan menukar nama bunga? Tentulah tak.
Obsesi nak tukar nama ni bukan satu benda baru. Ingat tak tahun lepas kecoh sebab ada orang nak tukar nama George Town? Macam lah orang Pulau Pinang akan jadi kurang patriotik kalau nama George Town dikekalkan. Macam lah pelancong luar negara akan batalkan flight sebab nama tempat kita tak cukup lokal. Apa lagi yang nak ditukar lepas ni - nak suruh pakar bahasa cipta nama bulan versi Melayu sebab Januari ke Disember semuanya pinjaman dari perkataan Inggeris dan tak cukup patriotik?
Tapi kat sini lah datangnya ironi: kalau betul penting sangat nak buang nama-nama berbunyi Barat, kenapa kita masih mengguna-pakai satu kamus penuh dengan perkataan Inggeris yang diMelayukan? Motivasi, imaginasi, idea, universiti, kalkulator, inovasi, global, nasional, bisnes - semua pinjam, semua tukar ejaan sikit, terus jadi “patriotik.”
Lawaknya, perkataan “patriotik” itu sendiri dipinjam dari Bahasa Inggeris. Dah bertahun lamanya kita guna pakai, takde pulak orang kata tak cukup Melayu!
Apa sebenarnya patriotisme?
Patriotisme sebenar ialah bila rakyat boleh hidup dengan bermaruah, rasa selamat, dan ada kebanggaan diri. Kalau ada checklist perkara-perkara yang boleh melambangkan semangat patriotik, menukar nama sesuatu agar berbunyi lokal tentu duduk di bawah sekali.
Sementara tu, isu masyarakat yang sebenar terus bertimbun. Kes buli makin teruk. Kos hidup makin naik. Kadar masa menunggu di hospital makin naik. Bil letrik makin macam roket. Sampah pun makin melimpah tanpa dipungut. Tapi YB kita pulak sibuk debat nama bunga.
Nama tu simbol, betul. Tapi simbol tak berguna kalau isinya kosong. Kau nak panggil bunga ni Rafflesia ke, Pakma ke, Pokma ke atau Bunga Besar Giler sekali pun lantaklah. Tapi kalau rakyat sendiri tak rasa bangga dengan apa yang kita miliki sebab pemimpin sibuk buat kerja yang tak menguntungkan sesiapa, apa guna?
Mungkin dah sampai masa kita berhenti syok sendiri dengan patriotisme plastik. Patriotisme bukan pasal nama bunga. Kalau nak bersemangat patriotik sangat, cuba usahakan agar kita akan tinggalkan bumi Malayisa ni satu hari nanti, dalam keadaan yang lebih baik dari apa yang kita warisi. Sampai hari tu, panggil je lah bunga tu apa pun - rakyat ada masalah yang lebih penting untuk dihadapi.
Fa Abdul (fa.abdul.my@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.png)


