
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjadi perhatian ramai susulan cadangannnya yang mahu menukar nama bunga Rafflesia sempena Hari Kebangsaan yang ke-68.
Dia mencadangkan perkara itu ketika mencelah penggulungan pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Ghani ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 19 Ogos lalu.
Apa yang menjadi perhatian adalah Wan Ahmad Fahysal secara berseloroh mencadangkan nama bunga itu ditukarkan sempena nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau nama-nama baik yang lain.
Jelasnya lagi, cadangan itu selaras dengan seruan Perdana Menteri yang mahu mengajak orang ramai untuk melihat sejarah negara di luar kerangka penjajah.
Cadangan itu nyata mendapat perhatian ramai hingga ada pihak yang tampil memberi ulasan mengenai perkara itu.
Nama Anwar pun tak apa’ – Wan Fayhsal cadang tukar nama bunga RafflesiaNama Anwar pun tak apa’ – Wan Fayhsal cadang tukar nama bunga Rafflesia, dia semakin menjadi badut dalam dewan #fypシ゚viralシfypシ゚ #borneodotcom #AnwarIbrahim #madani #reffelsia
Posted by Borneodotcom on Tuesday 19 August 2025
Tukar Nama Bunga Rafflesia Boleh Kembalikan Identiti Negara Namun Pelaksanaan Perlu Diteliti – Pakar
Terbaharu, Dekan Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Zulhazman Hamzah berpendapat cadangan penukaran bunga terbesar di Malaysia itu dilihat sebagai usaha penyahjajahan minda dan mengembalikan identiti negara.
Namun jelasnya, pelaksanaannya perlu diteliti secara halus kerana melibatkan sejarah, sains dan warisan budaya negara.
Zulhazman yang juga merupakan pakar ekologi dan taksonomi menjelaskan, cadangan tersebut menggambarkan hasrat untuk mengangkat warisan tempatan yang telah lama wujud sebelum kedatangan penjajah.
Ia sekaligus dilihat sebagai pengiktirafan kepada masyarakat terdahulu yang telah mengenali bunga tersebut sejak awal lagi.
“Dari sudut simbolik, ia adalah pengisytiharan bahawa Malaysia memiliki warisan sepenuhnya dan bebas daripada legasi kolonial.
“Tetapi dari sudut sains, budaya dan secara praktikal, banyak aspek perlu ditimbang dengan teliti.
“Sejarah penamaan rafflesia bermula pada tahun 1818 apabila ia ditemui di Bengkulu, Sumatera Barat oleh Sir Stamford Raffles dan Dr Joseph Arnold sebelum ahli botani, Robert Brown menamakan bunga itu secara rasmi pada 1821,” katanya yang dipetik dari Bernama.
Cadangan Beri Nama Tempatan, Satu Pengiktirafan Kepada Pengetahuan Tradisional
Beliau yang mempunyai pengalaman 17 tahun membuat kajian bunga tersebut menjelaskan cadangan menukarkannya kepada nama tempatan seperti bunga pakma atau mengikut etnik dianggap sebagai pengiktirafan terhadap pengetahuan tradisional sedia ada.
“Misalnya, masyarakat Kelantan menyebutnya sebagai bunga pakma, orang Asli Temiar di Lojing sebagai bunga malang, Kadazan-Dusun (bunga patma), Melayu Selatan Thai (bunga kekmo) manakala di Thailand ia dikenali sebagai bua put,” katanya lagi.
Terang beliau lagi, ia bukan sekadar memelihara khazanah linguistik malah juga boleh dijadikan sebagai bahan pendidikan untuk memahami sejarah prapenjajahan, kepelbagaian biologi dan pemuliharaan alam sekitar.
Penukaran Nama Boleh Timbul Pelbagai Cabaran Seperti Kekeliruan Saintifik
Namun, beliau berpendapat penukaran nama ini bukanlah mudah memandangkan ia berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dari segi saintifik.
Ini kerana jelasnya, nama Rafflesia telahpun digunakan dalam literatur saintifik antarabangsa selama lebih 200 tahun dengan merujuk kepada genus yang mempunyai lebih 40 spesies di Asia Tenggara.
“Jika nama rasmi ditukar di peringkat kebangsaan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dengan sistem penamaan spesies standard yang diiktiraf komuniti saintifik global,” katanya lagi.
Malah, isu lain seperti kos dan praktikal juga perlu dipertimbangkan memandangkan ianya melibatkan perubahan besar pada buku teks, papan tanda, bahan promosi pelancingan dan laman sesawang rasmi kerajaan.
“Malaysia yang berbilang kaum juga berdepan dengan cabaran kerana pemilihan hanya satu nama tempatan berpotensi menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik lain,” jelasnya lagi.
Cadang Penggunaan Dwinama, Dapat Kekalkan Nilai Saintifik & Budaya
Ekoran itu, Zulhazman mencadangkan agar penggunaan dwinama seperti ‘raflesia (bunga pakma)’ digunakan dalam konteks rasmi, pelancongan dan pendidikan agar nilai saintifik dan budaya dapat dikekalkan.
Jelasnya lagi, walau apapun nama yang akan diguna pakai, apa yang penting adalah memberi tumpuan kepada penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan agar Malaysia dapat menjadi peneraju dunia dalam perlindungan dunia bunga unik itu.
Baca Artikel Berkaitan: “Kos Tinggi Untuk Rebrand” – Cadangan Mat Sabu Tukar Nama UPM Ke Universiti Pertanian Malaysia Cetus Perdebatan
Baca Artikel Berkaitan: Hargai Jasa & Bakti Pak Lah, Pulau Pinang Tukar Nama Lebuh Raya Bandar Cassia Kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi
Source:


